Oleh : Nur Haslaily

Bangi, 19 November – “Kita tiada kuasa untuk jaga anak. Hanya Allah yang mampu jaga dan kawal anak-anak kita. Tugas kita didik dengan Agama dan berikan ketegasan bab solat. Solat terjaga, insyaAllah mereka mampu jaga diri.” Ujar Ustazah Norhafizah Musa, pendakwah terkenal dalam Kuliah Dhuha bertajuk Cabaran Membentuk Generasi Al-Quran Di Akhir Zaman.

Ustazah Norhafizah mengupas, dalam rangka membina generasi berilmu dan berakhlak mengikut acuan al-Quran ini, ia perlu bermula di rumah. Bermula dengan peranan besar ibu bapa dan keluarga.

“Walau macam mana kita kepung, tahan, sekat anak-anak kita. Kita tetap tidak boleh menjaga anak-anak kita. Macam mana kita sayang pada anak kita, kita tak akan mampu menjaga anak kita sepanjang masa. Sekarang ni gajet kiri kanan, TV siaran 24 jam, mall depan belakang. Kita dah tak boleh ikut cara mak ayah didik kita 20, 30 tahun dulu. Dulu kita keluar rumah pun, pergi mandi sungai dengan kawan-kawan. Zaman sekarang, terlalu banyak yang anak remaja boleh terokai.”

Tegas Ustazah di hadapan lebih 400 hadirin yang memenuhi dewan solat Masjid Al-Hasanah Bangi.

Surah Ibrahim ayat 37, harus dijadikan ayat penjaga oleh ibu bapa agar memastikan setiap ahli keluarga benar-benar mendirikan solat serta tidak mensyirikkan Allah.

“Tips keibubapaan yang hebat ada dalam Qur’an. Allah tak akan letak dalam Quran kalau bukan kisahnya sangat luar biasa. Tekuni dan selami teknik didik anak yang Allah rakam dalam Al Qur’an dalam Surah Luqman. Secara jelas Allah bagi cara bagaimana Luqman mendidik anak-anak.”

Malah masyarakat juga diseru untuk kasihkan anak orang lain, seperti anak sendiri. Dalam erti kata mudah, cakna terhadap anak-anak jiran, anak masyarakat sekeliling.

Ceramah berakhir jam 11.30 pagi diserikan dengan ucapan penutup oleh Ustazah Che Maryam, isteri Yang Berhormat Ustaz Shafie Ngah.

[Baca catatan lanjut di sini ]

Advertisements