Sekretariat Pemuda Gagasan Sejahtera telah menganjurkan program DIALOGS 2018 pada 25 Mac 2018 di Hotel De Palma, Shah Alam dengan penuh harmoni.

Program DIALOGS 2018 ini bertujuan untuk menjadi wadah kebersamaan kelompok NGO belia dan bukan Islam untuk bertemu dan berbincang dalam hal yang berkaitan dengan kebajikan dan masa hadapan generasi muda negara.

Ucaptama DIALOGS 2018 telah disempurnakan oleh Presiden PAS merangkap Pengerusi Gagasan Sejahtera, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau menyentuh tentang situasi politik, ekonomi dan sosial negara yang menuntut kepada perubahan ke arah Malaysia yang lebih sejahtera, halatuju negara di bawah teraju Gagasan Sejahtera, dan peranan generasi muda sebagai pencetus perubahan.

Para peserta turut mengambil peluang untuk berdialog dengan Presiden PAS tentang manifesto Gagasan Sejahtera, jaminan terhadap bukan Islam, dasar pendidikan berkebajikan, sistem percukaian Islam serta persoalan tentang 1MDB, PTPTN dan insentif kepada belia dan wanita muda.

Seterusnya pimpinan Pemuda PAS dan Ikatan bersama dua wakil NGO duduk sepentas untuk berdiskusi tentang isu-isu anak muda. Ketua Pemuda PAS, Ustaz Khalil Abdul Hadi membicarakan tentang fakta dan jaminan terhadap pembinaan jatidiri generasi muda dan golongan bukan Islam, serta halatuju negara yang memelihara kepentingan anak muda.

Ketua Pemuda Ikatan, Sdr Shahir Adnan memberikan ketegasan Gagasan Sejahtera untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan bebas rasuah.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ir Hj Khairil Nizam berkongsi beberapa tawaran Manifesto Gagasan Sejahtera yang khusus untuk anak muda, di samping peranan profesional muda dalam pembinaan negara.

Aktivis Yayasan Amal, Imam Muda Fakhrul memberikan saranan kepada kelompok NGO belia untuk berperanan aktif dalam usaha perubahan di peringkat peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.

Naib Presiden ABIM, Sdr Jufitri Joha berkongsi pandangan terhadap program yang lebih holistik dalam aspek kesejahteraan belia, ekonomi merdeka, sosio budaya dan partisipasi politik.

Kemuncak program adalah deklarasi Ikrar Anak Muda Membina Malaysia Sejahtera yang menekankan komitmen untuk berpolitik secara matang dan sejahtera, bekerjasama dalam perkara kebaikan, persiapan ilmu dan kemahiran bagi menghadapi persaingan globalisasi dan Revolusi Industri 4.0, dan seruan kepada anak muda untuk mengundi dalam PRU14 dengan memastikan kemenangan pihak Gagasan ke arah kehidupan yang lebih Sejahtera di Malaysia.

Program ini telah dihadiri oleh 200 peserta melibatkan wakil Pemuda PAS dan Ikatan di peringkat negeri, serta hampir 50 NGO yang mewakili segmen belia dan rakan bukan Islam, serta turut diikuti secara langsung melalui FB live sebanyak 34 ribu jumlah penonton.

Syahir Sulaiman

Pengarah Strategi DPPM / Panitia DIALOGS 2018

25 Mac 2018

Advertisements