BANGI, 9 Disember – Buat julung-julung kalinya Dewan Muslimat PAS Serdang melalui Cawangan PAS Seksyen 7 Bandar Baru Bangi telah menganjurkan satu Majlis Berendoi bagi meraikan 11 pasangan yang baru mendapat cahaya mata.

Majlis ini merupakan satu inisiatif untuk menghidupkan kembali tradisi yang semakin hilang dalam masyarakat terutamanya kawasan bandar dan generasi muda.

Sehubungan itu, bayi-bayi kecil bagi pasangan ibubapa muda telah diraikan untuk bersama-sama menyertai majlis yang sangat meriah ini.

Majlis ini telah dipilih kerana ia merupakan satu medan menyampaikan ilmu berkenaan agama Islam dan sirah nabi kepada hadirin yang hadir secara tidak langsung.

Kebanyakan hadirin yang hadir berasa sangat teruja dengan nasihat yang disampaikan melalui persembahan yang dipertunjukkan kerana ia penuh dengan makna tersendiri.

ADUN Bangi, YB Ustaz Shafie Ngah merangkap YDP PAS Serdang turut hadir dan merasmikan majlis yang diadakan di PASTI Siti Sarah Seksyen 7 Bandar Baru Bangi tersebut.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana kreatif meraikan pasangan muda dan berjaya menghidupkan amalan yang semakin dilupakan ini.

“Tahniah kepada Dewan Muslimat PAS Serdang kerana menganjurkan Majlis Berendoi seperti ini. Ia adalah langkah bijak dalam menghidupkan amalan yang semakin hilang dalam masyarakat kita.

Tahniah juga kepada pasangan muda yang baru mendapat cahaya mata. Semoga Majlis ini akan memberi makna yang mendalam dalam diri semua”.

Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Ketua Muslimat PAS Serdang dan pengurus PASTI Siti Sarah Seksyen 7.

Majlis ini dimulai dengan perarakan ibubapa dan bayi bersama-sama dengan Yb Ustaz Shafie Ngah dan seterusnya diserikan dengan alunan marhaban dan qasidah oleh kumpulan Syifaun Noulish.

Advertisements