KUALA LUMPUR: Sehingga suku kedua 2017, sebanyak 3.7 juta rakyat Malaysia masih belum mendaftar sebagai pengundi dan kebanyakannya adalah golongan belia berusia 21 hingga 39 tahun, seperti yang dinyatakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Manakala kajian yang dijalankan oleh firma kaji data terhadap 1,000 belia berumur 21 hingga 35 tahun mendapati, 88 peratus golongan belia mengambil peduli tentang isu semasa dan isu politik di sekeliling mereka, namun lebih 51 peratus masih belum membuat keputusan untuk menyokong kerajaan ataupun pembangkang di dalam pilihanraya akan datang.

Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Syahir Sulaiman berkata, dapatan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa tahap kesedaran politik di kalangan generasi muda adalah tinggi, namun tahap partisipasi politik berada di paras yang rendah, antaranya disebabkan oleh ketidakyakinan mereka terhadap parti politik yang boleh membawa perubahan dalam negara.

Menurutnya, jika situasi itu berlarutan, bukan sahaja jumlah pengundi yang masih belum mendaftar akan terus meningkat, malah peratusan pengundi yang keluar mengundi pada hari pengundian juga akan turut terjejas.

Katanya, di sinilah pentingnya partisipasi politik yang tinggi di kalangan generasi muda dan lanjutan daripada itu, soalan yang mudah tetapi sukar untuk dijawab akan menyusul iaitu mengapa generasi muda perlu terlibat dengan politik dan apakah manfaatnya kepada mereka.

“Antara jawapan yang biasa dikemukakan adalah ia merupakan hak setiap warganegara berumur 21 tahun ke atas, sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Di samping itu, pilihanraya yang berlangsung setiap lima tahun juga merupakan ruang terbaik untuk rakyat memilih pemimpin dan kerajaan berdasarkan prestasi dan janji yang dikemukakan,” katanya kepada Harakah, 15 November lalu.

Namun, katanya, jawapan yang lebih tepat untuk anak muda adalah, pilihanraya merupakan medan terbaik untuk mengubah ‘status-quo’ di dalam negara, manakala idea segar dan kepimpinan berjiwa muda mampu menjadi pemangkin kepada perubahan lebih besar dalam negara, berbanding rejim yang telah memerintah dalam tempoh yang lama.

“Selain itu, setiap isu yang dihadapi generasi muda biasanya tidak dipedulikan oleh kerajaan. Justeru, partisipasi dan representasi politik yang tinggi di kalangan generasi muda akan membuka mata semua pihak, seterusnya mewakili suara generasi muda untuk membawa perubahan di dalam negara,” ujarnya.

Di sinilah, tegas beliau, pentingnya golongan belia untuk segera mendaftar sebagai pengundi apabila mencecah usia 21 tahun kerana di samping mengambil peduli terhadap prestasi dan janji setiap parti politik dalam menjuarai kebajikan rakyat, anak muda disarankan agar tidak sesekali melepaskan peluang berharga untuk mengundi kelak.

“Lebih penting kita tidak mahu situasi yang sama berulang di mana ‘pemimpin yang jahat’ akan terus berkuasa apabila ‘rakyat yang baik’ tidak keluar mengundi untuk melakukan perubahan.

“Inilah mesej yang pernah diungkapkan oleh William E Simon kepada pengundi di Amerika Syari- kat, “Bad politicians are sent to Washington by good people who don’t vote”. Semoga ia tidak berlaku di Putrajaya. Undi anak muda adalah penentunya”, tegas beliau.

Dari Harakah Edisi Isnin Bil 2299

Advertisements