Oleh : Aisyah Yamin

BANGI – Unit Wanita Pusat Khidmat Masyarakat Setempat (PKMS) DUN Bangi telah menganjurkan pertandingan bowling DUN Bangi pada bulan Julai yang lepas.

Pertandingan yang mensasarkan pengundi wanita DUN ini telah diadakan di Pusat Bowling Bangi di Bangi Gateway dan dihadiri Puan Hamsatul Hamzah yang merupakan Ahli Majlis Zon 21 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) merangkap Ketua Muslimat PAS Kawasan Serdang.

Menurut Puan Hamsatul, penganjuran sebegini mampu menggalakkan para wanita cakna kesihatan peribadi dengan melibatkan diri dalam aktiviti kesukanan.

Malah, program sebegini mampu mengeratkan hubungan silaturrahim antara rakyat dan pemimpin setempat.

“Sukan adalah wadah yang baik untuk mengekalkan kesihatan yang berpanjangan. Aktiviti sebegini juga boleh memberi ruang kepada kita semua untuk saling berkenalan antara satu sama lain.”

Ketua Muslimat PAS Serdang ini juga turut mengalu-alukan para peserta pertandingan bowling agar menyertai pelbagai jenis aktiviti dan kursus yang dianjurkan PKMS.

“Unit wanita PKMS banyak menganjurkan aktiviti untuk para wanita seperti senamrobik, kelas jahitan dan kelas masakan.

Matlamat kami hanyalah untuk menggalakkan golongan wanita terutama yang tinggal dalam DUN Bangi boleh mendapatkan ilmu dan mencapai kesihatan yang baik.”

Beliau juga berharap agar aktiviti kemasyarakatan sebegini dapat diteruskan dan lebih ramai lagi penyertaan dari golongan wanita DUN Bangi pada masa akan datang.

 

Advertisements