Bangi, 4 Jun 2017 – Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang malam tadi berjaya menganjurkan iftar jamaie bagi tujuan mengumpul dana penubuhan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Darul Furqon yang akan dibangunkan pada tahun ini di Balakong.

Majlis Iftor yang diadakan di Restoran Ana Ikan Bakar Petai Bandar Baru Bangi telah dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Dato Mohd Amar Nik Abdullah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah sebagai tetamu terhormat.

Majlis turut meriah dengan kehadiran Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Serdang, Ustaz Nus-hi Dato Mahfodz; Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Serdang, Hj Hasan Ali; Ketua Pemuda PAS Serdang Ustaz Rosli Jusoh dan saf Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Pemuda Kawasan dan ahli PAS Serdang yang turut menyumbang dana penubuhan institusi pendidikan ini.

Dato’ Nik Mohd Amar dalam ucapan beliau banyak menyentuh mengenai taqwa. Ujar beliau, Ramadhan benar-benar mengajar erti taqwa kerana semua amalan anak-anak Adam ada panduan asas perkiraan melainkan puasa yang seratus peratus dibalas ataupun diberi ganjaran oleh perkiraan Allah swt.

Tambah beliau, sifat taqwa adalah kunci kejayaan dalam perjuangan sebagaimana tafsir ayat 30-40 Surah An-Naba’.

Beliau mengingatkan para pejuang PAS bahawa taqwa adalah senjata paling ampuh umat Islam sejak zaman berzaman mengatasi segala bentuk strategi dan pemikiran hebat kerana akhirnya tidak ada sebarang kemenangan yang hakiki melainkan datangnya hanya daripada Allah swt Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Ini ujarnya disebut sebanyak 2 kali di dalam Al-Quran وما النصر إلا من عند الله yang bermaksud “dan sesungguhnya tiada pertolongan melainkan dari sisi Allah.”

Manakala itu, Pengurus SRITI Darul Furqon Ustaz Bazli Badarudin menerangkan bahawa “SRITI Serdang akan ditubuhkan di kawasan Balakong kerana kita melihat Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Balakong sendiri kini menerima pelajar yang paling ramai terutama di PASTI Al-Ehsan di Taman Impian Ehsan”.

SRITI merupakan kesinambungan tarbiyah Islam yang menjadi menyambung sistem pendidikan dari PASTI di bawah Dewan Pemuda PAS.

Maka penubuhannya sangat signifikan selaras dengan keperluan masyarakat yang inginkan pendidikan Islam sebagai didikan teras untuk membina jatidiri anak-anak.

Pengarah program Ifthor Jama’ie ini, En Safarin Baharom menyatakan rasa terharu dan berterima kasih kepada semua atas kerja keras seluruh ahli dan orang ramai yang menyumbang tidak kira dari segi kewangan dan tenaga.

 

Advertisements