Oleh : Shehdi Hazrik Shamsudin

Kajang, 28 MEI 2017 – Sempena awal bulan Ramadhan kali ini Pemuda PAS Kawasan Serdang bersama AJK PAS Cawangan Kampung Sungai Balak mengambil inisiatif untuk membantu warga emas membersihkan kawasan laman rumah beliau di Kampung Sungai Balak pagi tadi.

Warga emas yang digelar Atan oleh penduduk kampung atau nama sebenar beliau Hassan bin Mohd Yusof merupakan salah seorang penduduk kampung yang menerima bantuan Zakat Selangor, namun tidak berupaya menyelenggara kediaman beliau kerana masalah kesihatan.

Pakcik Atan yang mencecah umur 61 tahun tahun kini menumpang kasih bersama kakak beliau di sebuah rumah usang. Pasangan adik beradik bujang ini hidup sendirian tanpa pasangan memerlukan perhatian.

Atas keperihatianan Exco Pemuda Pas Kawasan Serdang merangkap Ketua Cawangan PAS Kg Sungai, Balak, Ustaz Mohd Al-Amin bin Mat Daud telah hadir bersama ahli cawangan hari ini membantu memberi sumbangan barangan makanan di samping bergotong-royong memotong rumput dan lalang serta membersihkan kawasan sekitar luar rumah mereka.

Ustaz Amin berkata, “Sikap Pemuda yang baik seperti ini seharusnya menjadi contoh semua anak muda untuk sama-sama menyelami masalah masyarakat dan memberi apa sahaja bentuk bantuan kepada mereka yang memerlukan”.
“Melalui Budaya Politik Matang dan Sejahtera, Pemuda PAS Kawasan dan Pemuda PAS Cawangan akan terus komited dalam mengalas tanggugjawab kebajikan dan perihatin terhadap masyarakat ini”, tambah beliau.

Advertisements