BANGI – Sumbangan jasa dan curahan ilmu yang diberikan para pendidik telah diraikan PAS Serdang sempena Hari Guru, hari ini.

Dewan Muslimat PAS Serdang (DMPS), Dewan Pemuda PAS Serdang dan Ameerah Serdang telah meluangkan masa menziarahi beberapa buah sekolah sekitar DUN Bangi dan Balakong dengan membawa kek sebagai tanda ucapan terima kasih atas pengorbanan para guru dalam mendidik dan membimbing pelajar.

Menurut Ketua DMPS, Puan Hamsatul Hamzah ketika menziarahi Sek Integrasi Tahfiz Ilmuan di Seksyen 9 Bangi, para guru telah mengorbankan masa dan tenaga untuk memberikan ilmu kepada pelajar mereka.

Sehubungan itu, kepayahan dan kesusahan mereka harus diraikan terutama semasa hari bermakna seperti Hari Guru.

Semasa sesi ziarah tersebut, beliau turut mengajak para guru untuk terus ikhlas dan komited dalam mencurah jasa mendidik anak bangsa.

“Perkara paling penting adalah ikhlas dalam menyampaikan ilmu. Tanpa keikhlasan, segala pengorbanan dan susah payah kita akan menjadi sia-sia.

“Jadilah guru yang bukan hanya mengajar, tetapi juga mendidik agar generasi akan datang adalah generasi yang baik akhlak mereka. Jadilah pendidik di mana anak-anak muridnya akan merasai kehilangan apabila beliau tiada disisi”.

Puan Hamsatul yang juga merupakan seorang pendidik turut merakam ucapan terima kasih atas segala jasa para guru selama ini.

Sebanyak 7 buah sekolah yang menerima kek ucapan Selamat Hari Guru iaitu SMK Jalan Bukit, SMK Maahad Hamidiah, SMK Jalan 3 Bandar Baru Bangi, SK Seksyen 7, Sek Sri Ayesha, Sek Integrasi Tahfiz Ilmuwan dan SMK Jalan Reko di DUN Bangi.

Manakala, DUN Balakong pula adalah SAR Taman Tun Perak, SMK BTHO 2, SMT Ar Rahman, Suakasih, Sek Sri Al Amin, Sk Cheras Jaya dan SAR Tmn Impian Ehsan.

Kebanyakan guru memperlihatkan keterujaan mereka dan terharu atas ingatan yang ditunjukkan PAS Serdang terhadap warga pendidik di kedua-dua DUN berkenaan.

Advertisements