BANGI – Kemelesetan ekonomi, peningkatan sara hidup, kejatuhan mata wang Malaysia dan perlaksanaan cukai GST telah menyusahkan kehidupan rakyat Malaysia hari ini tanpa sedar.

Kenaikan harga minyak dan keperluan harian juga telah menjadikan rakyat tertekan dan tercari-cari sumber pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Sehubungan itu, PAS Serdang berusaha membantu rakyat dengan menyalurkan pelbagai ilmu yang dapat membantu rakyat mengharungi kemelut ekonomi.

“Kita mahukan membekalkan rakyat dengan keupayaan menghadapi kegawatan ekonomi. Belajar kemahiran agar mereka dapat menjana pendapatan melalui hasil tangan mereka. Berniaga adalah alternatif terbaik untuk mereka mendapatkan sumber pendapatan kerana 9/10 rezeki adalah dari perniagaan.

“Maka, kami cuba memberi rakyat ilmu kemahiran seperti bengkel menjahit jubah, baju kurung, blouse, palazo, beg dan telekung; bengkel memasak pelbagai cucur, kuih raya dan nasi Arab dan kursus memulakan perniagaan agar rakyat nampak jalan untuk meningkatkan ekonomi keluarga. Paling kurang, ilmu menjahit dan memasak yang diberi dapat membantu wanita menghasilkan sendiri keperluan harian dan tidak hanya menjadi pengguna tegar.

“Kami harap ini dapat membantu mereka dengan lebih baik berbanding memberikan duit yang akan habis. Ilmu tidak habis”. Ujar Pengerusi Pusat Berdaya Wanita DUN Bangi, Puan Mariah ketika dihubungi pemberita.

Pusat Wanita Berdaya DUN Bangi yang digerakkan oleh PAS Serdang telah menjalankan berpuluh-puluh bengkelkemahiran semenjak tahun 2009. Maklumat tentang Bengkel yang akan diadakan boleh didapati di Facebook PWB Dun Bangi.

Bengkel terdekat dalam bulan Mei ini ialah Bengkel Meroti & Pizza (13 Mei 2017) dan Bengkel Menjahit Beg dari Banner Terpakai (14 April 2017) di Masjid Al Hasanah Bangi.

Advertisements