BANGI – Pemuda PAS Serdang hari ini telah menganjurkan satu bengkel asas grafik kepada rakyat setempat.

Bengkel yang dikendalikan Saudara Azman b Mah Husin, Pengarah Penerbitan PASTI Malaysia ini telah memberi input berkenaan perisian Adobe Illustrator dan Adobe Photoshop.

Seramai lebih 20 orang peserta telah hadir dan memberikan maklum balas positif terhadap bengkel yang diadakan selama sehari di Pejabat ADUN Bangi ini.

Turut hadir dalam bengkel berkenaan adalah Ketua Muslimat PAS Serdang, Puan Hamsatul Hamzah. Beliau sempat mengingatkan para peserta agar memanfaatkan ilmu grafik yang dipelajari untuk memberi manfat kepada jemaah PAS.

“Ilmu grafik yang kita dapat hari ini perlu dimanfaatkan untuk kepentingan jemaah. Kemahiran grafik perlu diasah dan diamalkan. Jangan sesekali diabaikan”. Ujar beliau dalam bengkel berkenaan.

Keseluruhan peserta yang hadir melahirkan rasa keterujaan dengan bengkel berkenaan dan mengharapkan agar ia diteruskan untuk siri-siri yang lebih mencabar pada masa akan datang.

“Cabaran media baru hari ini sangat hebat. Bengkel seperti ini membolehkan saya belajar bagaimana ingin memberi manfaat kepada masyarakat melalui penghasilan grafik yang menarik” Maklumbalas yang diberikan Puan Aida, salah seorang peserta bengkel tersebut.

“Terima kasih pada pihak penganjur terutama PAS Serdang kerana memberi peluang kepada kami menambah ilmu dengan mudah. Sebab harga untuk masuk bengkel seperti ini sangat mahal diluar sana”, tambah beliau.

Advertisements