“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam”. Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Fussilat: 33 – 34)

Muktamar Penuh Gemilang.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-58 telah dirasmikan dengan penuh gemilang dan warna-warni, di Negeri Kedah Darul Aman, negeri Jelapang Padi.
Muktamar yang berlangsung pada tahun ini mengangkat tema ‘Mara Menuju Cita’, bagi menegaskan betapa pentingnya Pemuda PAS terus mara menerajui agenda Penyelesaian Islam, dengan melebarkan Khidmat Bakti dan menjayakan misi Perpaduan Ummah.

Di samping itu, pemilihan logo Muktamar DPPM kali ke-58 yang berbentuk ‘Padi’ adalah simbolik kepada kegigihan dan keazaman yang tinggi di sebalik jelapang padi yang membuahkan hasil, agar setiap Pemuda PAS meningkatkan iltizam untuk terus menabur bakti demi mencapai cita-cita dan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Bersesuaian dengan citra anak muda, YB Ustaz Nik Mohamad Abduh turut menggunakan ‘infografik’ dan ‘hashtag’ bagi mengiringi ucaptama beliau yang bersifat ‘matan’, di samping turut memuatkan plan tindakan (scorecard) untuk rujukan pimpinan Pemuda Negeri dan Kawasan. Intipati ucaptama beliau juga diolah secara berseni mengikut susunan rangkap Lagu Rasmi PAS iaitu:
“Bergeraklah ke gerbang jasa, Kalah menang bukan alasannya;
Sucikanlah niat dihati, Hingga nyata benarnya janji Rabbi.”

Pertama: Bergeraklah Ke Gerbang Jasa.

Sebagai agenda permulaan, YB Ustaz Nik Abduh menegaskan bahawa tuntutan Amal Islami dan Amal Jamaie merupakan kerja-kerja kebaikan dan taqwa yang paling penting, dan hendaklah digerakkan secara kolektif (Jamaie) dan berkualiti (Itqan).

Justeru antara elemen penting yang perlu diberi penekanan oleh Pemuda PAS sebagai Abna’ul Harakah adalah:
i. Organisasi Tersusun Rapi – Memperkemas sistem pengurusan organisasi, sumber manusia dan kewangan supaya lebih efisyen.
ii. Khidmat Bakti Disanjungi – Penghormatan kepada AMAL dalam menjalankan khidmat bakti, di samping Pemuda PAS menjuarai agenda prihatin rakyat agar khidmat kebajikan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
iii. Pendidikan Dilestari – Sekalung penghargaan kepada para guru PASTI dan penggerak SRITI, yang menuntut kepada sokongan semua pihak, khususnya dalam aspek dana, waqaf, prasarana, silibus, serta kebajikan guru dan murid.
iv. Anak Muda Disantuni – Pemuda PAS perlu terus kreatif dalam meneroka dimensi baru untuk ‘bergelumang’ dalam ruang sosial dan minat anak muda dengan membawa mesej Islam, seterusnya mampu diterjemahkan dalam bentuk sokongan undi kepada PAS.

Kedua: Kalah Menang Bukan Alasannya.

Seterusnya, para Pemuda PAS diingatkan betapa pentingnya kebergantungan kepada Allah dan meyakini bahawa kemenangan hanya datang dengan pertolongan Allah, sebagaimana yang diungkapkan di dalam Al-Quran dengan menggunakan beberapa istilah seperti Al-Falah, Al-Fawz, An-Nasr dan Al-Fath.

Justeru antara agenda yang perlu diberi fokus oleh Pemuda PAS sebagai Ansorullah adalah:
i. Tarbiah Didahulukan – Pemantapan fikrah pimpinan, ahli dan pelapis mengikut manhaj yang telah disusun oleh para murabbi terdahulu.
ii. Kompetensi Ditingkatkan – Potensi yang tinggi di kalangan ulama’ pelapis dan professional muda perlu digilap, seterusnya menjadi barisan hadapan dalam usaha mempersada idea Kerajaan Teknokrat yang digagaskan oleh Presiden PAS.
iii. Kemenangan Islam Diutamakan – Dalam tempoh kritikal menjelang PRU14, seluruh Pemuda PAS perlu memastikan jentera pilihanraya Pemuda (JPRU, JPRD, JPRK) telah beroperasi sepenuhnya, lengkap dengan data culaan, analisa pengundi, buku isu dan plan tindakan yang dipantau oleh pihak Negeri dan Pusat.

Sebagai petanda paluan PRU14 bermula, YB Ustaz Nik Abduh meletakkan keyakinan dengan berkat usaha dan pertolongan Allah, Pemuda PAS mampu merealisasikan hasrat Presiden PAS untuk memenangi minima 40 kerusi Parlimen dan mentadbir 5 buah negeri; dengan komitmen Pemuda PAS untuk meletakkan lebih ramai calon muda dan menguasai 60% undi anak muda di setiap kerusi yang ditandingi.

Ketiga: Sucikanlah Niat Di Hati.

Sebagai teras kepada perjuangan ini, YB Ustaz Nik Abduh menyeru agar seluruh Pemuda PAS berpegang dengan aqidah yang benar lagi murni, sebagai syarat pertama bagi seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam. 
Justeru antara perkara yang perlu diberi penumpuan oleh Pemuda PAS dalam aspek asasi ini adalah:
i. Dasar Kepimpinan Dirahmati – Telah nyata termaktub dalam Perlembagaan PAS bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS ialah Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qiyas. Inilah dasar yang wajib dipertahankan seluruh Pemuda PAS, seterusnya dipersadakan melalui pembudayaan ilmu di kalangan pimpinan dan ahli.
ii. Perpaduan Ummah Dijadikan Misi – Paksi perpaduan yang diperjuangkan PAS adalah Islam, bukan kebangsaan. Negara dan umat Islam perlu diselamatkan daripada ‘Bahaya Yang Dirasai dan Bahaya Menanti’, melalui pendekatan dialog, muzakarah dan persetujuan untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama.

Selain itu, beliau menyeru agar PRU14 ini dijadikan medan kepada Pemuda PAS untuk Melebarkan Muafakat dan berperanan sebagai Duta Perpaduan Ummah, dengan membawa mesej “Islam Didahulukan, Kita Bersamanya”. Himpunan 355 menjadi contoh bahawa agenda besar ini mampu dijayakan, apabila semua pihak yang cintakan Islam dapat duduk bersama tanpa mengira fahaman politik, demi menjayakan cita-cita dan matlamat yang sama.

Keempat: Hingga Nyata Benarnya Janji Rabbi.

Seterusnya, para Pemuda PAS diingatkan tentang wawasan jauh perjuangan yang perlu dicapai, antaranya:
i. Al-Quds & Keamanan Dunia – Pemuda PAS berperanan untuk memanfaatkan saluran diplomasi dan misi kemanusiaan ke arah kemenangan dan pembebasan bumi Palestin, di samping menjalin kerjasama dengan gerakan pemuda Islam di negara ASEAN mewujudkan keamanan di rumpun ini.
ii. Mempersada Wawasan Induk Negara Sejahtera – Pemuda PAS berperanan besar bagi merealisasikan aspirasi yang terkandung di dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), melalui anjakan budaya politik negara yang lebih matang dan sejahtera (BPMS). Dalam hal ini, Kelantan wajar dijadikan model dalam pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam, dengan pelbagai program yang membawa kesejahteraan dan kebajikan kepada rakyat dan anak muda.
iii. Agenda Anak Muda Sejahtera – Pemuda PAS selayaknya menginsafi kewajipan melaksanakan tuntutan pembinaan negara (nation building) yang lebih sejahtera. YB Ustaz Nik Abduh menyatakan bahawa Malaysia kini berhadapan dengan empat krisis utama, iaitu krisis keyakinan dan gejala rasuah, kelembapan ekonomi dan kos sara hidup, gejala sosial dan kualiti pendidikan, serta ancaman kedaulatan negara.

Justeru, sebagai kerangka asas terhadap penyelesaian krisis yang melanda negara, beberapa langkah Islah berikut wajar diambil, termasuklah Pembaharuan Perlembagaan dengan agenda pemerkasaan Islam Agama Rasmi Persekutuan, Kebebasan Institusi, Pembaharuan Ekonomi, Pembaharuan Pilihan Raya, Perpaduan Nasional, dan Hubungan Antarabangsa.

Di samping itu, sebagai menyahut hasrat anak muda Malaysia yang mendambakan sebuah kehidupan yang lebih sejahtera, Pemuda PAS meletakkan 7 Agenda Anak Muda Sejahtera berikut sebagai asas pembentukan tawaran Manifesto PAS yang akan dilancarkan menjelang PRU14, iaitu:

1. Pendapatan Boleh Guna – Memberi Lebih Ringgit Kepada Poket Anda

2. Keupayaan Sara Hidup – Membebaskan Anda Daripada Kesempitan Hidup

3. Pendidikan Berkebajikan – Meningkatkan Kualiti Hidup Melalui Pendidikan Insani

4. Keusahawanan Belia – Membantu Membina Kerjaya Dan Pendapatan Sendiri

5. Rumah Mampu Milik – Memiliki Rumah Idaman Sebagai Tempat Berteduh

6. Capaian Pengangkutan – Mobiliti Dalam Dunia Serba Pantas

7. Kesejahteraan Hidup – Menjamin Kesihatan Dan Keselamatan Yang Tersayang

Penutup.

Di penghujung ucapan, YB Ustaz Nik Abduh menyeru seluruh Pemuda PAS mengambil iktibar daripada ketinggian iman para sahabat Rasulullah SAW di medan Ahzab, sedang kita juga boleh diibaratkan sedang berhadapan dengan pakatan Ahzab Moden yang bergabung bagi mengekang kemaraan Islam pada hari ini.

Justeru, bertitik tolak di atas tema “Mara Menuju Cita”, seluruh Pemuda PAS disaran agar terus beristiqamah untuk memperkukuhkan kebergantungan kepada Allah swt, memantapkan tarbiyah kepimpinan dan ahli, merapatkan saf dan aturan organisasi, di samping terus meneraju agenda penyelesaian Islam dengan melebarkan khidmat bakti dan perpaduan ummah.

Di kesempatan itu juga, YB Ustaz Nik Abduh merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh saf kepimpinan DPPM dalam membantu beliau mengemudi sayap penting Jamaah ini, sepanjang dua tahun yang cukup indah dan penuh ukhuwwah. Di samping itu, sekalung tahniah diucapkan kepada Panitia Muktamar, DPPN Kedah dan semua pihak yang terlibat bagi menjayakan Muktamar DPPM kali ini yang berlangsung dengan penuh makna.

Pesanan beliau di akhir ucapan, “Marilah kita meletakkan keyakinan bahawa, fajar Islam pasti akan menyinsing pada esok hari, dan sinarannya akan dinikmati oleh semua insan yang ingin menikmatinya”.

#MaraMenujuCita
#TillJannah

– Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
– 27 April 2017, Kompleks PAS Kedah

Advertisements