Oleh : Aisyah Yamin

BANGI – Sempena Program yang diadakan di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi Sabtu lepas, Ketua Muslimat PAS Serdang Puan Hamsatul Hamzah, menyeru golongan wanita terutama suri rumah untuk memperkasa diri dengan ilmu yang pelbagai.

Beliau turut menjelaskan pelbagai bantuan telah diberikan kerajaan Selangor dan PAS Serdang untuk membantu rakyat meningkatkan pendapatan keluarga melalui penganjuran pelbagai jenis kursus dan bengkel kemahiran secara percuma mahupun dengan bayaran yuran yang minima.

“Kami berusaha memberikan pendidikan kepada rakyat. Dewan Muslimat PAS Serdang dengan kerjasama Pejabat ADUN Bangi dan Pejabat Negeri Selangor cuba untuk mewujudkan peluang kerjaya dengan menganjurkan pelbagai bengkel dan kelas untuk memberi kemahiran kepada rakyat.”

“Saya menyeru agar kaum wanita sentiasa berusaha menambah pelbagai jenis ilmu terutama ilmu agama sebagai asas kehidupan keluarga bahagia dan berusaha meningkatkan keunggulan muslimah dalam kerjaya dan juga aktiviti kemasyarakatan.”

Beliau turut menyifatkan penyertaan dan kolaborasi masyarakat setempat dalam program Wanita Anggun Sihat Bestari merupakan satu tindakan yang mampu menzahirkan keupayaan para wanita dalam menguasai pelbagai kemahiran.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan pada hari berkenaan antaranya aktiviti jualan RM1, rawatan spa, pemeriksaan kesihatan percuma, aktiviti mewarna dan penghasilan ‘DIY Brooch’ untuk kanak-kanak di sini semalam. Hasil daripada kutipan jualan RM1 akan disalurkan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan yang akan datang.

 

Advertisements