BANGI – Sekretariat Bengkel Aqil Baligh (BAB) akan meneruskan usaha untuk memberi ilmu kepada remaja perempuan berkenaan persiapan yang perlu mereka dilakukan apabila mereka mencapai umur aqil baligh.

Bengkel terbaru yang diadakan di Surau AnNur Seksyen 1 telah dirasmikan oleh ADUN Bangi, YB Ustaz Shafie Ngah pada 22 April yang lepas.

Seramai 58 penyertaan dalam kalangan remaja perempuan telah mendaftar dalam siri kali ini.
Bengkel hasil kerjasama antara NGO Nisa Serdang dengan pejabat ADUN Bangi ini telah diadakan sejak tahun 2015 dengan mensasarkan penglibatan remaja perempuan berumur antara 9 hingga 15 tahun yang tinggal di sekitar Bandar Baru Bangi.

Menurut saudari Sakinah Mohammad, Penyelaras BAB berkata, antara objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada remaja perempuan berkenaan baligh dari sudut sains dan tanggungjawab agama.

“Objektif kami adalah untuk menjelaskan sistem reproduktif wanita secara umum. Perubahan yang akan berlaku apabila mereka baligh dari persepektif kesihatan dan sains.


“Selain itu, kita ingin dedahkan hukum hakam apabila remaja wanita ini baligh. Ia lebih kepada fiqh mar’ah.

“Dan akhirnya kita ingin mereka tahu bagaimana cara menjaga kehormatan diri dan batas pergaulan mereka dengan lelaki yang bukan mahram. Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.”

Kesemua peserta yang hadir telah memberikan maklum balas positif terhadap perkongsian yang diberikan fasilitator berkaliber.

 

Advertisements