Oleh : Muhammad Faiz Mukmin

Petaling Jaya, 16 April 2017 – Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) telah melabuhkan tirai pagi tadi dengan menyaksikan pertandingan dua jawatan tertinggi kekal disandang oleh Ustaz Syarhan Humaizi Abd Halim dan Ustaz Hanafi Zulkapli sebagai Ketua Pemuda dan Timbalan, manakala Naib Ketua Pemuda disandang oleh Ustaz Muhamamd Labib Abd Jalil menang tanpa bertanding.

Sdr. Rosli Jusoh ketika ditemui merakamkan ucapan tahniah dan takziah mewakili seluruh Pemuda PAS Kawasan Serdang (DPPKS) kepada saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor 2017/2019 yang baru dipilih yang kekal diketuai oleh Ustaz Syarhan Humaizi.

Beliau mengharapkan saf kepimpinan yang bakal dibentuk ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan terus Istiqomah dalam menjaga amanah dalam jemaah ini. “Bagi pemuda Serdang kita sudah menyampaikan hasrat bertanding di Dun Balakong dan Parlimen Serdang di PRU14 akan datang selain Dun Bangi dan kita di Serdang sudah bersedia ke arah itu”, ujar beliau.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Serdang Saudara Shehdi Hazrik Shamsudin yang juga merangkap Timbalan Pengarah 3 Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor mengharapkan seluruh ahli Pemuda PAS Selangor dapat merapatkan kembali saf dan sentiasa menjaga ukhwah sesama Islam. “Pemimpin perlu berjiwa besar untuk menerima kritikan dan teguran dari semua peringkat bagi sama-sama kita bermuhasabah, dan muhasabah itu mestilah dalam keadaan penuh ukhwah” tambah beliau.

Pada sebelah petangnya satu Himpunan Jentera Pilihanraya Pemuda PAS Negeri Selangor juga telah diadakan dan dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Khalil Abd Hadi Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Program tersebut telah menyaksikan Auditorium Dewan Sivik MBPJ penuh dengan kehadiran jentera pilihanraya dari agensi-agensi di bawah Pemuda PAS yang terdiri daripada anggota-anggota Jabatan Amal Malaysia, Pasti, ARC DACS, Mahasiswa, PEBT dan lain-lain lagi.

Dengan kehadiran lebih 200 anggota Amal seluruh Selangor dan lebih 300 orang guru-guru pasti serta agensi yang lain telah memenuhi kedua-dua tingkat Auditorium Dewan Sivik MBPJ tersebut.

Majlis Himpunan Jentera pilihanraya kali ini telah dimulakan dengan Perbarisan Kawalan Kehormat Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor dengan kekuatan 3 platun iaitu 90 anggota dan 7 pegawai yang diketuai oleh Timbalan Pengarah 3 Tuan Shehdi Hazrik sendiri dan dibantu oleh RSM Amal Tuan Nizam dan Pegawai Latihan Amal Tuan Arbain.

Himpunan kali ini menampilkan 5 pidato yang mewakili 5 agensi Pemuda Negeri diikuti ucapan Taujihat oleh Ketua, Timbalan serta Naib Ketua DPPNS dan seterusnya ucapan Ustaz Khalil bagi merasmikan Jentera Pilihanraya Pemuda PAS Negeri Selangor.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan bendera Malaysia, Negeri Selangor dan PAS kepada setiap wakil bagi 22 kawasan seluruh Selangor sebagai tanda simbolik perasmian jentera. Seterusnya auditorium digemakan dengan laungan penuh semangat bacaan Ikrar dan taat setia kepada kepimpinan PAS yang diketuai oleh Tuan Shehdi sendiri.

 

Advertisements