Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur selama-lamanya ke hadrat Allah s.w.t kerana masih memperteguh kita di dalam perjuangan.

“Oleh itu, hendaklah engkau (Muhammad), sentiasa tegap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian, dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah. Sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu kerjakan”. Surah Hud-112

Muktamar Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor Kali Ke 30 yang telah berlangsung 15-16 April 2017 kelmarin, berjalan dengan lancar dan penuh gemilang.
Kehadiran daripada Perasmi YB Dato’ Nik Amar Abdullah (Naib Presiden), YB Dato Ir Iskandar (Naib Presiden dan PJ PAS Selangor), Dr Rosni Adam bersama saff Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS), Ustaz Najhan Halim mewakili Dewan Ulama PAS Selangor (DUPNS), Ustaz Hanafi Dahlan mewakili Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS), para jemputan, perwakilan dan pemerhati memeriahkan suasana Majlis Perasmian.

Kerjasama yang padu oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Serdang dan Hulu Langat kepada Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor sangat dihargai dan diucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Jutaan terima kasih juga kepada Dewan Seri Kasih dan D’JU Catering yang turut memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakan acara dan tanggungjawab tahunan ini. Hanya Allah sahaja yang layak memberi balasan setimpal.

Tidak dilupakan juga kepada Jabatan Sekretariat, Ameerah, Briged Muslimat dan Nusaibah, Jabatan IT serta Majlis Guru PASTI Negeri Selangor (MGPNS) yang membantu persiapan dan melancar perjalanan Majlis Perasmian serta Sidang Muktamar.

oSekalung penghargaan juga kepada semua yang memberi sumbangan samada dalam bentuk dana, buah fikiran dan juga tenaga. Bersama-samalah kita mencari keredhaan Allah dalam setiap amal yang kita usahakan. Semoga Allah terus merahmati kita semua.

Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor merakamkan sekali lagi ucapan tahniah kepada Puan Nor Zarina Bt Mohd Azhar (Setiausaha DMPNS) yang menerima Anugerah Tokoh Muslimat Muda Harapan Saidatina Aishah dan Puan Nurul Ain Husin (Ketua Nusaibah Selangor) menerima Anugerah Tokoh Muslimat Muda Harapan Saidatina Asma. Ini adalah tahun ke-2 Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor memberi anugerah kepada muslimat muda yang telah memberi komitmen yang tinggi di dalam jemaah dan parti. Semoga dengan adanya anugerah seperti ini, dapat membangkitkan semangat dan inspirasi untuk terus berkerja seterusnya menyuntik semangat kepada muslimat generasi muda yang lain.

Satu lagi pencapaian Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor ialah mempunyai Medic Team yang telah rasminya dilancarkan dalam Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor kelmarin. Tahniah kepada Briged Muslimat kerana telah berjaya menubuhkan Medic Team.

Setelah 4 tahun Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor memiliki Maahad Tahfiz Sains dan Teknologi Darul Ehsan (MTSTDE), kini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menubuhkan Kolej Integrasi Al-Quran dan Kemahiran (KIQ) yang mula beroperasi pada Julai 2017. Dewan Muslimat mengambil tanggungjawab masyarakat dengan menyediakan suatu platform pendidikan synergy untuk menyediakan modal insan seimbang antara berkemahiran dan ilmu agama. Peluang ini khasnya ditawarkan kepada pelajar-pelajar SPM yang tidak mempunyai kelayakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Unik dan hebatnya KIQ ini adalah menerapkan ilmu dan pengajian agama dlm pengajian untuk melengkapkan diri menjadi muslim berkemahiran dan menerapkan Islam dalam amalan kehidupan.

Terima kasih kepada saff kepimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor sesi 2015-2017 yang telah bersama-sama belayar mengemudi bahtera perjuangan dengan baik dan berhikmah. Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor sesi 2017-2019 akan terus berperanan memperkukuh jemaah, melebarkan dakwah seterusnya memberi kemenangan kepada Islam dengan mendokong suatu iltizam

“Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah mesyuarat untuk membuat sesuatu maka bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”. Surah Ali- Imran – 159

“Pertegas Prinsip Perjuangan”

Wan Hasrina Wan Hassan
Ketua
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.
Sesi 2017-2019

 

Advertisements