Oleh : Shehdi Hazrik Shamsudin

BANGI, 16 April 2017 – Majlis Pelancaran Sambutan 40 Tahun Bandar Baru Bangi (BB Bangi) di Tasik Cempaka pagi ini telah disempurnakan oleh YB Ustaz Shafie Ngah Adun Bangi merangkap Yang Di Pertua PAS Kawasan Serdang.

Turut sama hadir adalah Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk MPKJ En Husni Manan, Yang Di Pertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi Haji Ahmad Sufie Munasir, Tan Sri Dato Dr. Mohd Nor Ismail, ASP Musa Ketua Balai Bangi, wakil Bangi Industrial Association serta Dr. Shafie Abu Bakar.

Sebelum majlis perasmian bermula, para sukarelawan telah menjalankan aktiviti gotong-royong mengikut zon-zon di sekitar Bandar Baru Bangi. Para sukarelawan ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti penduduk sekitar, pelajar dan guru-guru sekolah, mahasiswa dan ahli akademik Universiti, syarikat industri, Persatuan Penduduk dannPersatuan Bukan Kerajaan (NGO) di sekitar Bangi.

Menurut En Abdul Karim Mohd Sarif, Pengarah Sambutan 40 Tahun BB Bangi pelancaran Gimik sambutan 40 tahun Bandar Baru Bangi telah diadakan sejurus selesai aktiviti gotong royong Bangi Bersih Berterusan. Gimik kali ini menyaksikan susunan “Play Card” yang susun oleh pelajar Pasti Malaysia mewakili anak-anak Bangi, Anggota Jabatan Amal Malaysia mewakili Pemuda, dan 2 sukarelawan Bangiku mewakili Ibu dan Bapa penduduk Bangi.

Upacara Gimik tersebut telah disaksikan oleh para jemputan kehormat dan sukarelawan Bangi. “Walaupun nampak sederhana tapi ia meriah” menurut En. Hafis salah seorang yang peserta di kalangan pemuda yang hadir.

Dalam ucapan perasmian tersebut YB Shafie menyatakan matlamat Bangi Bersih bukan hanya menjadikan Bangi sifar sampah, tetapi turut juga bersih dan bebas daripada premis judi dan maksiat. Beliau turut memperingatkan kepada penduduk Bangi khususnya para sukarelawan agar meneruskan aktiviti meningkatkan kebersihan ini demi kelangsungan kehidupan generasi yang akan datang.

Advertisements