Oleh : Shehdi Hazrik Shamsudin

Bangi, 14 April 2017 – Program “Forum Rakyat” yang membincangkan mengenai isu pindaan Rang Undang-Undang memperbaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian bagi Pindaan 2016 (Akta 164) anjuran Bangi Bandar Ilmu dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah.

Forum kali ini telah membuka mata para hadirin mengenai perancangan mengurangkan hak keistimewaan Islam yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara seperti mana usaha yang pernah dibawa oleh Interfaith Commision (IFC) sebelum ini.

Majlis ilmu yang julung kalinya membincangkan Akta 164 di Bangi ini telah menampilkan dua orang ahli panel yang terlibat secara langsung dalam mengupas isu tersebut iaitu Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia dan Ustaz Mohd Zubir Embong daripada Tetuan Guaman Mohd Zubir Embong Associates, manakala Ustaz Marwan Shukrimun atau lebih dikenali sebagai Alang Ibnu Shukrimun (AIS) bertindak sebagai moderator.

Umum mengetahui kerajaan sebelum ini telah bercadang untuk membawa usul meminda Akta 164 berkaitan hak kekeluargaan orang Islam di Mahkamah Sivil namun masih belum dibacakan di Parlimen.

Pindaan akta yang menyentuh status agama anak, hak penjagaan, nafkah dan pengagihan harta ini sebenarmya membelakangi Perlembagaan Negara menurut Dato Zainul dan ia sebenarnya belum terhenti atau berakhir kerana usul pindaan ini hanya ditangguh sahaja.

Sebelum itu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dilihat hanya satu-satunya parti yang telah memberi respond melalui kenyataan mereka untuk tidak bersetuju kerana implikasi yang bakal timbul daripada pindaan Akta ini adalah sangat serius.

PAS mencadangkan agar Akta 164 ini dikaji semula secara mendalam, menerusi pembentukan satu Jawatankuasa Khas bagi merangka dan mengemukakan satu penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif.

Walaubagaimanapun, Ustaz Zubir dalam penerangan beliau beranggapan akta ini sebenarnya awal-awal lagi telah menafikan kebebasan umat Islam untuk mengamalkan agama mereka dan mempertahankan aqidah tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Negara ini pada asalnya adalah negara yang meletakkan undang-undang Islam paling atas malah di dalam perlembaagan juga menyebut bahawa Agama Islam adalah agama rasmi Negara yang tidak boleh dipertikaikan.

Menyokong pandangan tersebut, Dato Zainul pula berkata mana-mana pindaan akta perlu dibaca selari dengan Perkara 11. Walaupun Perlembagaan boleh dipinda untuk kepentingan rakyat dan negara, tetapi ia tidak boleh mempersoalkan hak Agama Islam sebagai agama rasmi dan agama bagi Persekutuan.

@Meneliti usul pindaan ini, secara jelas ia bertentangan dengan Perlembagaan malah sebenarnya membawa kita ke belakang”, ujar beliau lagi.

Kedua-dua ahli panel bersetuju bahawa pindaan ini seperti satu percubaan untuk merealisasikan 5 perkara dari 15 tuntutan IFC sebelum ini yang berkait secara langsung dengan undang-undang perkahwinan. Antaranya seperti berikut:
1. Seorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak boleh di iktiraf menjadi orang Islam sehingga umurnya 18 tahun dan anak tersebut berhak memilih agama selain Islam.
2. Memberi kelonggaran kepada orang bukan Islam untuk tidak perlu menukar agamanya jika ingin berkahwin dengan orang Islam
3. Begitu juga sebaliknya di mana orang Islam dibenarkan keluar dari Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam.
4. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam mesti mendapat persetujuan kedua pihak untuk mendapatkan hak jagaan anak.
5. Orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

Jika dilihat pindaan Akta 164 dan IFC ini, membuktikan mereka konsisten dengan komitmen mereka bagi menuntut dan menafikan hak agama Islam sedikit demi sedikit.

Di akhir pergulungan kedua-dua ahli panel menyarankan supaya isu ini mendapatkan perhatian yang serius oleh seluruh umat Islam tidak kira perbezaan fahaman politik dan idealogi pemikiran.
Umat Islam perlu untuk bersatu menentang usul pindaan ini demi kelangsungan dan pemeliharaan aqidah umat Islam bagi generasi akan datang.

Advertisements