Oleh : Mohd Aizzat Mohd Ramlan

SUNGAI BESAR, 9 April 2015 – PASTI Kawasan Serdang telah mencapai kejayaan sebagai Naib Johan dalam pertandingan Bola Jaring sempena Sukan PASTI Selangor 2017 yang bertempat di Stadium Sungai Besar, Selangor hari ini.

Sukan PASTI Selangor yang dianjurkan setiap 2 tahun sekali ini mempertandingkan 4 jenis permainan iaitu acara bola sepak, bola jaring, dan lari 4 x 25m lelaki dan perempuan yang melibatkan wakil PASTI kawasan dari seluruh Selangor.

PASTI Serdang juga tidak ketinggalan menghantar pasukan bola sepak dan bola jaring. Ketika dihubungi, Sdr. Ahmad Nizam Omar selaku Ketua Kontijen memaklumkan, para pemain pasukan bola sepak telah dipilih dari PASTI Ar-Raudhah, Seksyen 5 BBB dan PASTI Asy-Syakirin, Teras Jernang.

Manakala pasukan bola jaring yang diketuai oleh Pn. Nooraini Zakaria pula telah diwakili oleh PASTI Al-Ehsan, Taman Impian Ehsan dan PASTI Abqori, Cheras Jaya.

Menurut jurulatih bola jaring, Cikgu Nik Fauziah Nik Abdul Rahman, walaupun hanya berlatih dalam tempoh 3 minggu sebelum kejohanan, pasukan bola jaring telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila berjaya merangkul tempat kedua setelah tewas kepada PASTI Kuala Selangor pada perlawanan akhir.

Walau bagaimanapun nasib tidak menyebelahi bagi pasukan bola sepak PASTI Serdang, apabila mereka gagal mara ke pusingan seterusnya. Namun ucapan tahniah dan syabas diberikan kepada para pemain atas semangat kesukanan yang telah mereka tunjukkan.

Sebelum itu, kontijen Serdang telah diziarahi oleh Ketua Pemuda PAS Serdang, Sdr Rosli Jusoh pada malam sebelum pertandingan di kediaman (homestay) mereka bagi memberi semangat kepada semua pemain.

Mewakili barisan kepimpinan Pemuda PAS Kawasan Serdang, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan yang terlibat terutama pemain, jurulatih, guru-guru PASTI, pengurusan PASTI serta semua yang terlibat secara langsung atau pun tidak dalam menyediakan kontijen PASTI Serdang ke Sukan PASTI Selangor.

Beliau juga mengharapkan agar pasukan PASTI Serdang akan berusaha lebih gigih dan membuat yang terbaik untuk kejohanan-kejohanan sukan yang akan datang insya Allah.

 

Advertisements