SUNGAI TANGKAS, 9 April 2017 – Angin ribut telah melanda Kampung Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi semalam. Berbekal motto “Beramal Kerana Allah” sekumpulan anggota Jabatan AMAL Malaysia telah menjalankan operasi pembersihan pokok tumbang di Jalan Kelisa 5, Kampung Sungai Tangkas semalam.

Anggota Jabatan AMAL bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan penduduk tempatan yang meminta bantuan setelah tidak dapat meneruskan pembersihan kerana pokok yang menimpa atap rumah sehingga bocor itu agak besar serta berisiko untuk patah dan menimpa rumah lain.

Sebelum itu, pihak MPKJ melalui Unit Tindakan Pantas mereka telah membantu memotong dan mengalihkan sebuah pokok besar yang juga tumbang pada kabel elektrik dan menghalang jalan raya.

Namun kerana kesuntukan masa, beberapa rumah penduduk yang terjejas akibat ribut tidak dapat dibantu oleh MPKj, justeru itu khidmat Jabatan AMAL Malaysia diperlukan penduduk.

Dengan peralatan mesin pemotong, kepakaran tinggi dan diiringi semangat ikhlas untuk berbakti, 9 anggota Amal telah berganding bahu dengan 4 penduduk tempatan menyelesaikan misi yang mengambil masa selama 2 jam dan akhirnya mereka berjaya mengalih dan membersihkan pokok tumbang tersebut.

Menurut Komandan AMAL Serdang Sdr Shahzada Muhammad Nasir, Jabatan AMAL kini tidak asing lagi dan begitu rapat dengan penduduk Kampung Sungai Tangkas melalui pelbagai misi bantuan sebelum ini seperti operasi banjir dan khidmat gotong-royong.

Penduduk ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada anggota AMAL yang membantu dengan ikhlas dan mengharapkan Allah memberi kekuatan kepada mereka untuk terus berbakti kepada seluruh masyarakat.

 

Advertisements