Oleh : Ahmad Zafran Shahrul Azhar

Bangi, 8 April 2017 – Jabatan Amal Malaysia Kawasan Serdang meneruskan aktiviti membina ukhwah dan mengembalikan kekuatan melalui satu program Himpunan Liqa’ Fikri dengan mendengar ucapan dan taujihat dari pimpinan Pemuda PAS Negeri Selangor.

Memenuhi jemputan pihak penganjur, Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor Ustaz Syarhan Humaizi Abd Halim malam tadi telah menyampaikan sedikit pesanan dan peringatan kepada semua anggota Amal dalam Dewan Pemuda PAS Serdang. Dalam ucapan taujihat, beliau banyak berpesan dan nasihat kepada anggota Amal untuk terus membina dan pertahankan Iman dengan membenarkan segala apa jua janji Allah dan Rasul lebih-lebih lagi tatkala kita diuji dengan serangan musuh Islam daripada segenap penjuru dan arah.

Sebelum itu Ketua Pemuda PAS kawasan Serdang dalam ucapan aluan beliau menyatakan sangat bersyukur dan berkongsi kegembiraan beliau di atas kejayaan Tuan Guru Presiden PAS Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang membentangkan usul pindaan RUU355 di Parlimen semalam.

Menurut beliau inilah usaha yang telah dilakukan oleh kita semua terutama anggota Amal yang sangat cemerlang dalam mengawal dan menjaga para peserta di Himpunan RUU355 baru-baru ini.

Menurut Komandan Amal Serdang Tuan Shahzanda Mohammad, program kali ini dibuat bagi memperkenalkan Jabatan Amal kepada pemuda-pemuda yang baru mendaftar menjadi ahli PAS di kawasan ini dan sekaligus memperkuatkan lagi ukhwah antara anggota baru dan lama dengan pengisiaan slot Taaruf yang dikendalikan oleh Sdr Nadzir Helmi selaku Naib Ketua Pemuda PAS Serdang.

Turut hadir memenuhi jemputan malam tadi ialah En Mokhtaza Mukhtaruddin, Setiausaha PAS Kawasan Serdang yang turut menerima borang penyertaan ahli PAS dan ahli Jabatan Amal Kawasan Serdang yang baharu.

Difahamkan anggota Amal kawasan Serdang kini sudah mencapai seramai 112 orang dan Amal Setdang bertekad untuk menambah lagi keanggotaan dari kalangan Pemuda PAS dan ahli cawangan yang ada di Serdang ini.

Sebelum ini Amal Serdang sudah memulakan gerak kerja mendekati Ketua-Ketua Kampung tradisi dan masyarakat sekitar dalam membantu mereka menjayakan beberapa agenda kebajikan masyarakat di tempat masing-masing.

Melalui dasar Budaya Politik Matang dan Sejahtera, Pemuda Serdang secara keseluruhannya sudah mula bergerak membantu PAS Kawasan dalam misi kebajikan penduduk dan yang terbaharu seluruh Exco Pemuda PAS Serdang sudah dikerahkan untuk turun bergilir-gilir menyantuni pengundi dan masyarakat India di seluruh kawasan Bangi dan Balakong secara berperingkat sempena sambutan Tahun Baru Tamil tidak lama lagi.

Unit Berita, Lajnah Penerangan Pemuda PAS Serdang

 

Advertisements