Oleh : Aisyah Yamin

Kajang, 5 April 2017 – Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Serdang bersama beberapa wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) telah melakukan ziarah mahabbah sempena Tahun Baru Tamil hujung minggu lalu. Ziarah kali ini dikoordinasikan oleh En Abu Bakar Alias.

ADUN Bangi, YB Ustaz Shafie Ngah berkata aktiviti ziarah sebegini bukanlah pertama kali diadakan sebaliknya merupakan aktiviti berkala PAS Serdang. Namun kali ini agak berbeza kerana ia mensasarkan kaum India sempena Tahun Baru Tamil.

Katanya lagi, ziarah yang dianggotai oleh lebih 20 orang petugas terdiri daripada petugas cawangan Kajang Utama, Dewan Pemuda PAS Serdang dan Dewan Muslimat PAS Serdang ini mensasarkan hampir 100 orang pengundi termasuk kaum India di sekitar Taman Seri Mewah, Kajang Utama.

Turut sama turun padang kali ini Tuan Haji Adram Musa bersama Jawatankuasa PAS Kawasan, Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat PAS Serdang. Tuan Nadzir, Naib Ketua Pemuda PAS Serdang dan juga Pengarah AKP Pemuda Pusat menyatakan keterujaan beliau apabila melihat keterbukaan masyarakat India bertemu wakil PAS dan menyatakan sokongan kepada PAS.

DHPP juga tidak melepaskan peluang untuk turut meraikan Tahun Baru Masyarakat Tamil yang bakal menjelang pertengahan April ini. Menurut Pn Sathibamah a/p Batumala, Setiausaha DHPP Serdang, mereka bercadang untuk menziarah 1,000 pengundi kali ini. “Setakat ini, 600 orang  India telah kami lawati.” kata beliau.

Semangat turun padang kali ini sangat luar biasa katanya sehinggakan beliau dan Puan Vijaya turut membawa anak dan suami masing- masing untuk turut sama membuat edaran manisan kepada masyarakat India setempat bersama empat orang wakil DHPP lain.

Sebelum ini beliau mengakui masyarakat India kurang menyedari kewujudan PAS, sebagai sebuah badan yang mampu membela masyarakat tanpa mengira kaum namun sekarang beliau mengakui rata-rata masyarakat India telah mengenali ADUN Bangi. Terharu dengan kehadiran Yb Ustaz Syafie Ngah, salah seorang pengundi India yang dikunjungi melahirkan rasa gembira apabila mereka turut mengakui kehebatan dan ketelusan PAS dalam pentadbiran. “PAS hebat, kami memang nak sokong PAS”, kata beliau.

Melihat kepada penerimaan masyarakat India kali ini, Sathia yakin PAS akan mendapat kejayaan lebih hebat pada masa akan datang.  “Beristiqomah hingga kemenangan”, ungkapnya sebelum mengakhiri sesi temu bual.

 

Advertisements