Oleh : Muhammad Faiz Mukmin Abdul Mutalib

25 Mac 2017 – Kajang, demi menzahirkan penghargaan kepada anggota polis yang telah banyak berkorban siang dan malam menjaga keamanan negara, Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang (DPPKS) telah mengambil inisiatif mengadakan kunjungan hormat kepada anggota di Balai Polis Balakong, Bandar Sri Putra dan Bandar Baru Bangi sempena sambutan hari polis ke-210.

Bertepatan dengan tema sambutan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”, DPPKS mengambil peluang untuk menyantuni dan menziarahi anggota Polis dengan membawa bersama kek ucapan “Selamat Hari Polis”.

Kehadiran wakil DPPKS yang diketuai oleh Mohammad Firdaus Bin Mohammad yang juga merupakan Ketua Lajnah Kebajikan DPPKS serta anggota Jabatan Amal Malaysia Kawasan Serdang telah disambut dengan penuh kegembiraan oleh anggota polis.

Pihak polis melahirkan rasa terharu di atas kesungguhan pihak DPPKS meraikan Hari Polis walaupun dalam sesetengah masyarakat masih ada yang mencemuh tugas mereka.

YB Ustaz Shafie Ngah, ADUN Bangi yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Serdang juga turut menziarahi Balai Polis Bandar Sri Putra bersama Jawatankuasa Pusat Khidmat Masyarakat Setempat Putra Mahkota.

Bagi pihak DPPKS, Firdaus dan sahabat-sahabat beliau dalam Pemuda berazam akan meneruskan pendekatan-pendekatan sebegini bagi merealisasikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) agar semua lapisan masyarakat dapat merasai bentuk pembudayaan baharu yang dibawa oleh PAS.

Advertisements