15 Mac 2017, Serdang – Setelah mencapai rekod jumlah pelajar PASTI teramai di Malaysia, Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang kini mula mengorak langkah dengan merancang untuk menubuhkan satu lagi institusi pendidikan di bawah Produk Dewan Pemuda PAS Malaysia iaitu Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Darul Furqan bermula tahun hadapan.

Sehubungan itu, Tabung Pembangunan SRITI Serdang telah secara rasmi dilancarkan oleh Ustaz Fahdli Shaari, Ketua Penerangan DPPM pada Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS Kawasan Serdang kali ke 30 baru-baru ini.

Ustaz Bazli Badarudin merupakan Pengarah SRITI Serdang yang baru dilantik dan beliau memaklumkan SRITI Darul Furqan telah didaftarkan melalui Pertubuhan SRITI Malaysia di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 29 Mac 2016.

Menurut beliau, SRITI merupakan institusi Pendidikan Rendah yang menerapkan elemen pendidikan arus perdana, agama dan Tahfiz Al-Quran. Kurikulum khas akan dimplementasikan sepenuhnya bagi membolehkan aspek aqidah atau tauhid merentasi semua mata pelajaran.

Antara objektif utama penubuhan SRITI adalah untuk menawarkan pakej pendidikan berteraskan Islam di peringkat sekolah rendah kepada anak-anak rakyat di Malaysia. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyediakan pendidikan bersepadu sebagai kesinambungan daripada institusi prasekolah PASTI.

SRITI juga tambah beliau ditubuhkan bertujuan untuk mendidik generasi Islam bagi melahirkan insan yang beriman, berakhlak dan berilmu serta memahami Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul.

Menurut Ketua Pemuda Kawasan Serdang, Rosli Jusoh beliau meletakkan sasaran untuk menubuhkan dua (2) buah SRITI di Kawasan Serdang ini. Hasil gerakan jawatankuasa “task force” yang diwujudkan bagi tujuan pembinaan SRITI, satu kawasan berpotensi telah dikenalpasti di Balakong.

Dana SRITI telah mula digerakkan secara meluas sejak pelancaran rasminya. Pihak DPPKS memerlukan suntikan dana permulaan sebanyak RM200 ribu untuk penubuhan SRITI ini, bagi mereka yang ingin menyumbang bolehlah menyalurkan sumbangan kepada akaun Maybank “Tabung Operasi Pemuda”- 562834632735

Manakala mereka yang ingin mengikuti perkembangan SRITI ini bolehlah melayari dan ‘Like’ Page FB rasmi Sriti Darul Furqan.

DPPK Serdang mengharapkan penubuhan SRITI ini dapat mencapai visinya iaitu “Melahirkan Generasi Soleh Pintar Rabani dan Murobbi”

Oleh :

Mohd Aizzat Mohd Ramlan

Lajnah Penerangan
Dewan Pemuda PAS Serdang

Advertisements