Oleh : Md Shehdi Hazrik Shamsudin

12 Mar 2017 – Bandar Tun Hussin Onn, satu program forum ‘Halatuju Politik Malaysia’ anjuran Unit Kerja Jemaah (UKJ) Dun Balakong Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang buat julung kalinya diadakan di Balakong. Program tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS Malaysia. Dalam ucapan perasmian, Tuan Guru menekankan supaya perbincangan mestilah melihat politik menurut kaca mata wahyu.

Forum kali ini menampilkan 2 ahli panel yang tidak asing lagi iaitu Dr. Zuhdi Marzuki, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat dan Ust. Hakimi Othman, Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Selangor, manakala ‘moderator’ forum kali ini dikendalikan oleh Saudara Khairul Nadzir Helmi, Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Serdang merangkap Pengarah Akademi Kepimpinan Pemuda DPPM.

Menarik dalam forum kali ini adalah kedua-dua panel telah mengupas isu-isu semasa dalam konteks yang lebih terperinci melalui dua produk PAS iaitu “Dokumen Hijau” dan “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” (BPMS).

Zuhdi dalam perbahasan beliau menerangkan jalan penyelesaian yang ada di dalam Dokumen Hijau di mana beliau memfokuskan masalah utama negara dengan mengemukakan cukai yang tidak membebankan rakyat marhain sebagai alternatif kepada GST dan Skim Mampu Memiliki Rumah sebagai alternatif kepada Skim Rumah Mampu Milik yang sedia ada di bawah kerajaan. Menurut beliau bentuk Skim Mampu Memiliki Rumah ini, telahpun dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Selangor untuk dipertimbangkan perlaksanaannya.

Beliau juga sempat berseloroh dengan menyebut “ada parti politik yang kata Islam rahmat untuk semua, apa rahmat tu? adakah sekadar laungan”. Menurut Zuhdi rahmat itu hanya sampai jika melaksanakan “sistem ekonomi kita sistem ekonomi Islam, sistem pendidikan kita sistem pendidikan Islam, sistem politik kita sistem politik Islam bahkan sistem pembentungan pun Islam ada solusinya”

Beliau juga sempat mengemukakan perancangan Dokumen Hijau seterusnya iaitu cadangan bagaimana kerajaan mampu melaksanakan urus tadbir sumber hasil bumi negara dengan lebih baik terutamanya hasil minyak. Menurut beliau “Allah memberikan takungan gas asli yang besar di negara dan kawasan umat Islam, tetapi persoalannya bagaimana ianya diurus dan di mana hilangnya hasil mahsul ini?”

Berbalik kepada pembentangan Al-Fadhil Ustaz Hakimi, dalam menyelesaikan masalah kemelut politik dalam negara, beliau menyebut “PAS menyedari, akan kegagalan berpolitik sekiranya kita terus menurut telunjuk manusia”. Namun di situ menurut beliau “kita yakin andainya kita berpolitik menurut telunjuk Allah, insya-Allah kita akan berjaya. Inilah yang dinamakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.”

Menjawab Persoalan BPMS ini, menurut beliau PAS mahu mengajak manusia keluar daripada kepompong kerosakan bukan dengan jaminan manusia, tetapi dengan jaminan Allah”.

Dun Balakong sebelum ini ditandingi oleh DAP dan MCA dan ia mempunyai komposisi pengundi yang menyebelahi masyarakat Cina di bawah 50 peratus, namun PAS melalui gerak kerja mereka sebelum ini sudah mula menembusi kawasan-kawasan melayu dan penduduk Cina dengan mengadakan pelbagai program berbentuk ziarah santai dan penerangan.

Forum seumpama ini menurut Ketua Pemuda PAS Serdang Sdr. Rosli Jusoh akan diteruskan lagi bagi membawa imej PAS yang tekad untuk bertanding di DUN Balakong dan seterusnya Parlimen Serdang.

 

Advertisements