Oleh : Mohd Aizzat Mohd Ramlan

13 Mar 2017 – Bangi, Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang (DPPKS) terus mendekati anak muda dengan menubuhkan satu lagi Kelab Sukan dan Rekreasi iaitu Alternative Tracking Club (ATC) Serdang dan dirasmikan oleh Al Fadhil Ustaz Ahmad Fadhli bin Syaari semasa Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 30 mereka.

ATC Serdang adalah salah satu kelab di bawah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Serdang selain daripada Alternative Riding Club (ARC). ATC menganjurkan aktiviti-aktiviti pendakian khususnya di dalam Malaysia.

Saudara Muhamad Al Hafes bin Kamarul Baharin yang sebelum ini memegang jawatan Ketua DACS Serdang memberitahu antara aktiviti yang telah dijalankan ialah mendaki Bukit Broga (Selangor), Gunung Datuk (Negeri Sembilan) dan menghantar wakil mendaki ke Gunung Kinabalu (Sabah).

Menurut beliau, objektif penubuhan kelab ini adalah untuk menarik minat anak muda yang meminati aktiviti-aktiviti pendakian di samping menyelitkan mesej-mesej Islam dalam setiap programnya.

Selain itu, objektif ATC adalah untuk menggalakkkan anak-anak muda di Serdang menyertai salah satu aktiviti sihat di samping mengeratkan ukhwah sesama mereka.

Seperti mana-mana kelab yang lain di bawah DACS, ATC Serdang ini terbuka kepada semua peringkat umur yang sihat fizikal untuk menyertai aktiviti pendakian yang dianjurkan.

Tambah beliau lagi, beberapa perancangan telah dirangka untuk aktiviti pendakian yang melibatkan beberapa bukit dan gunung di Semenanjung Malaysia. Melihat kepada penyertaan yang amat menggalakkan sebelum ini, ATC Serdang mensasarkan lebih ramai golongan pendaki khususnya anak muda untuk menyertai aktiviti sihat ini.


Advertisements