Saya mengucap pujian dan tahniah kepada pihak SPRM di atas tindakannya menangkap 12 orang mereka yang disyaki terlibat menerima rasuah dalam melindungi aktiviti judi haram, rumah urut dan pelacuran di Selangor hari ini.

Sesungguhnya penangkapan tersebut menampakkan kesungguhan pihak SPRM membenteras aktiviti jelek tersebut, dan memahami sensitiviti masyarakat bertamadun di negeri ini.

Namun, sesuatu yang menjadi tanda tanya ialah mengapa masih ikan-ikan kecil yang terus menjadi keutamaan penangkapan, tidak ikan-ikan besar di belakang aktiviti jenayah pelacuran dan judi tersebut?

Tanda tanya yang lebih besar ialah mengapa SPRM dan bukan PDRM? Kerana aktiviti-aktiviti tersebut adalah dalam kategori jenayah berat yang sepatutnya di dalam bidang kuasa PDRM.

Terdahulu daripada ini, pertemuan demi pertemuan oleh pihak ADUN & Ahli Parlimen, malah para persatuan penduduk juga, dengan pihak PDRM telah dibuat bagi menyuarakan kebimbangan bercambahnya aktiviti ini. Namun, ternyata pertambahan premis judi masih berlaku.

Sehubungan dengan ini, saya merayu dan mendesak supaya pihak PDRM bertindak tegas membenteras aktiviti judi dan pelacuran ini, dalam bentuk apa sekalipun, dengan menangkap dan membawa dalang di sebalik premis dan aktiviti ini ke muka pengadilan. Untuk tujuan yang sama, hendaklah termasuk premis-premis pusat hiburan yang diberi lesen oleh pihak Majlis Perbandaran kerana ada kemungkinan aktiviti yang sama wujud di situ secara terselindung.

Bagi maksud mengenalpasti lokasi yang jelas aktiviti ini dalam kawasan saya adalah di Sungai Chua, Taman Putra Kajang, Reko Sentral, sepanjang Jalan Reko, Hentian Kajang dan Taman Jasmin.

YB Shafie Ngah
ADUN Bangi
13.3.2017

Advertisements