Oleh : Muhammad Faiz Mukmin Abdul Mutalib

4 Mac 2017 – Bangi, Setiausaha Jabatan Amal Malaysia Kawasan Serdang Saudara Ahmad Syahir Bin Hj Muhamad Shahrumi telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Anak Muda sempena Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang (DPPKS) kali ke 30.

Pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah tersebut merupakan buat julung kalinya diberikan di dalam AGM DPPKS atas keberanian dan pengorbanan satu-satunya anak muda dari Serdang yang menyertai Misi Food Flotilla for Myanmar baru-baru ini.

Anak kelahiran negeri Perak ini merupakan anggota amal yang sangat komited dalam melaksanakan tugas, ketika ditanya beliau pernah terlibat dalam krisis Menteri Besar Perak yang lepas dalam mempertahankan Menteri Besar di rumah kediaman MB bersama anggota Amal Negeri Perak yang lain ketika dikepung oleh penguatkuasa.

Anak muda yang baru sahaja mendapat cahaya mata tahun lepas ini telah terlibat dengan Jabatan Amal semenjak tahun 2006 pernah memegang jawatan pertama yang diamanahkan sebagai Ketua Kor Kemahiran Amal kawasan. Antara tugasan awal beliau ialah mengutip derma ketika ceramah dan terlibat dengan gerak kerja pilihanraya pada 2008.

Pada 2010 beliau telah berpindah ke Bangi dengan semangat sukarelawan yang kuat dalam diri, beliau terus melapor diri kepada Komandan Amal kawasan dan kini aktif dalam kejurulatihan Amal Negeri Selangor.

Beliau juga seorang yang aktif bersama badan bukan kerajaan (NGO) MAPIM sejak 2012 dan kini merupakan sukarelawan sepenuh masa MAPIM. Selain mencari dana untuk MAPIM beliau juga pernah terlibat dengan beberapa misi keamanan seperti Misi Ke Arakan.

Penglibatan beliau dalam Misi Food Flotilla For Myanmar telah meletakkan nama beliau sebagai salah seorang yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record kerana berjaya menghantar 2,000 tan makanan, ubatan dan hygine kit ke kawasan bergolak.

Dalam misi tersebut beliau telah diberi kepercayaan sebagai seketariat yang terlibat membuat kertas kerja, mencari kapal, sumber kewangan atau “fundraising”, surat menyurat dan jadual program di atas kapal.

Ketua Pemuda DPPKS Saudara Rosli Jusoh mengharapkan dengan penganugerahan Ikon Anak Muda ini ianya akan menjadi inspirasi kepada ramai lagi anak muda untuk mengikuti jejak langkah beliau. Bagi pihak DPPKS didoakan agar Saudara Syahir terus istiqamah dalam Jabatan Amal Malaysia dan Parti Islam Se-Malaysia PAS.


Advertisements