Oleh Sulaiman Mohamed

Tun Mahathir (TM) mungkin adalah seorang tokoh politik yang paling berpengalaman dan paling menonjol dalam sejarah negara ini. Tidak ramai manusia, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia yang masih aktif berpolitik pada tahap tertinggi pada umur melebihi 92 tahun. Luar biasa.

Tenaga masih kuat, masih boleh ke sana ke sini, membuat ucapan ceramah awam, bermesyuarat dan aktif menulis sekurang-kurangnya di media maya. Dengan sumber-sumber yang ada di sekelililing beliau (masih ada saki baki pengaruh dalam banyak hal) dan pengalaman yang amat luas serta pemikiran yang masih tajam, beliau masih sangat berupaya mencapai agenda politik beliau.

Soalnya, apakah agenda politik Tun M menjelang PRU14 nanti? Menariknya berkenaan Tun M ialah sebenarnya tidaklah begitu susah untuk menelah apa yang bermain di kotak pemikirannya. Umurnya yang panjang juga mendedahkan corak pemikiran dan sikapnya berlatarkan begitu banyak sejarah politik beliau.

Menelusuri sikapnya yang lampau hinggalah sikap dan pendekatannya yang terkini, maka saya simpulkan Tun M ada 4 agenda utama menuju Pru14 dan selepasnya. Empat agenda tersebut adalah:

1. Menjatuhkan Najib
2. Mengembalikan kekuatan UMNO
3. Menghancurkan Pembangkang khasnya DAP dan PAS.
4. Menaikkan pasukannya di persada kepimpinan negara

Asas kepada kesimpulan ini bertaburan di luar sana di sepanjang sejarah politiknya.

Saya tidak berhajat menjustifikasikannya. Terpulanglah kepada pembaca menilainya.

Namun saya mahu cuba menjelaskan persoalan yang lebih penting iaitu bagaimana Tun M bakal melakukannya lantas mencapai ke empat-empat agenda tersebut.

Sebenarnya jalan cerita strateginya tidak sukar sangat.

Walaupun perlaksanaanya mungkin berliku dan kompleks untuk kebanyakan pemimpin politik, bagi tokoh seperti Tun M tidaklah sukar mana pun.

Kejayaan mencapai 4 agenda tersebut tergantung kepada sebesar mana “bargaining power” yang beliau ada selepas PRU 14 nanti. Lebih besar kemenangan di pihak pembangkang, maka lebih besarlah Kuasa Rundingan Tun M.

Jika pihak pembangkang dapat menang di Pru14 nanti, lebih kuat lagi senjata Tun M. Namun, untuk mencapai agenda pokitik tersebut, pembangkang tidak semestinya perlu menang dan kuasai kerajaan.

Pembangkang yang kuat hanya boleh menjadi realiti jika semua parti pembangkang dapat bergabung, atau sekurang-kurangnya berkerjasama, di mana kekuatan undi Melayu Pas perlu digabungkan dengan kekuatan undi Cina Dap. Barulah pembangkang boleh jadi satu force yang benar-benar kuat.

Kunci kedua dalam langkah strategi beliau ialah kumpulan pembangkang yang kuat itu mestilah dipimpin beliau. Ya, bukan Anwar, sudah tentu bukan Wan Azizah dan anak-beranak Lim, tetapi oleh Tun M.

Kunci kedua ini lebih penting dari kunci pertama.

Dengan jumlah kerusi yang besar dimenangi gabungan pembangkang di bawah kepimpinan Tun M, beliau mempunyai Kuasa Tawaran yang cukup ampuh. Cukup ampuh untu dirundingkan dengan UMNO/BN.

Tawarannya mudah; Tun M akan bawa sebahagian besar kerusi pembangkang ke dalam kerajaan bersama (ingat UG?). Ini akan mengukuhkan kerajaan (mungkin nama baru menggantikan BN), sekaligus memastikan UMNO terus kukuh memerintah negara.

Dengan tawaran jawatan-jawatan menteri dan timbalan menteri, tidak ada sebab kenapa ahli-ahli parlimen pembangkang perlu menolak rundingan tersebut. Apa lagi dengan akujanji semua pihak untuk membersihkan negara dari rasuah dan seumpamanya. Apa saja agenda perjuangan pembangkang sekarang akan dilaksanakan. Maka perlu apa lagi mereka membangkang? Sebagai imbalan, Najjib mesti turun.

Tekanan dari dalaman UMNO/BN sendiri sudah menjadi sangat sukar untuk ditangkis Najib. Apa lagi dengan tekanan dari Tun M dan gabungan pembangkangnya yang begitu kuat.

Najib akan jatuh. Agenda 1 tercapai.

Siapa bakal ganti Najib? Mudah, ada dua pilihan :

1. Zahid naik sebagai PM interim, kemudian diganti Muhyidin atau Mukhriz, atau
2. Muhyidin atau Mukhriz terus naik jadi PM

Mana-manapun, akhirnya Agenda 4 tercapai.

Dengan semua itu, sudah tentu UMNO makin kuat. Samada PPBM dibubar terus, atau masih hidup bermain wayang, lambat-laun PPBM akan terkubur. Semua nya kembali kepada UMNO.

UMNO akan jadi kembali kuat, lebih kuat dari sebelumnya. Agenda 2 terlaksana.

Apa jadi kepada DAP, PAS dan pembangkang lain? Terlopong…

Samada mereka terpaksa ikut kehendak Tun M menjadi sebahagian kecil kerajaan, atau mereka keluar dan terus jadi pembangkang.

Sekali lagi, apa saja pilihan pembangkang khasnya DAP dan PAS, apabila tiba PRU15, kesemuanya hilang kerelevenan ditelan kelicikan politik Tun M.

Advertisements