Oleh : Md Shehdi Hazrik Shamsudin

4 Mac 2017 – Bangi, Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang (DPPKS) telah mengadakan Mesyuarat Agung mereka kali ke-30 di Markas PAS Kawasan Serdang, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi. Mesyuarat Agung tiga dekad ini telah dirasmikan oleh Al Fadhil Ustaz Ahmad Fadhli Syaari, Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan, dan seterusnya memperkenalkan logo rasmi baru DPPKS.

Dalam ucapan perasmian mesyuarat tersebut, beliau mengajak para perwakilan pemuda Serdang menghayati sejarah Baginda Rasulullah SAW. Perjuangan Baginda dan Sahabat yang tidak mudah lemah dengan pelbagai cabaran, bahkan ada sahabat Nabi bernama Al-Harith bin Umair yang sanggup menjadi utusan Rasulullah ke kerajaan Rom, dan dibunuh.

Sambung beliau oleh kerana ketika itu sudah wujud satu deklarasi atau persetujuan semua kerajaan tidak boleh membunuh mana-mana utusan, maka akibat daripada pencabulan deklarasi tersebut kemudian tercetuslah peperangan Mu’tah. Inilah cabaran sebenar bagi pemuda sekarang, kerana musuh tidak akan ikut apa jua perjanjian atau peraturan apabila mereka terdesak menghadapi kebangkitan Islam.

Tambah beliau lagi dalam menyoroti peristiwa Perang Mu’tah, beliau menyebut bagaimana sikap Baginda Nabi mempersiapkan tentera Islam dengan jumlah hanya tiga ribu tentera, namun ia sudah dikira terbesar pada zaman itu untuk ke medan Mu’tah berhadapan dengan lebih seratus ribu tentera Rom.

Namun menurut beliau angka bukanlah isu yang hendak disebut, tapi yang perlu diteladani oleh kita adalah bagaimana Baginda mempersiapkan ketua-ketua tentera Islam dengan menamakan terus 3 nama yang akan mengantikan ketua atau pemegang panji tentera Islam sekiranya terbunuh iaitu Zaid bin Harithah kemudian Jaafar bin Abi Talib dan akhir sekali Abdullah bin Rawahah.

Mengakhiri ucapan Ustaz Fadhli menasihatkan kepada perwakilan Pemuda supaya bersiap sedia membina pelapis baru bagi memastikan perjuangan ini diteruskan. Beliau menyebut hari ini PAS diserang oleh ramai pihak dalam segenap aspek, dan menjangkakan PRU14 ini adalah medan peperangan persepsi.

Bagi mengatasinya ahli PAS terutama pemuda yang berada di bahagian hadapan perlu bangkit silih berganti menghadapi serangan ini, paling tidak bantu menyampaikan maklumat dengan berkongsi atau “share” status pimpinan di FB. Biar maklumat PAS tersebar meluas dalam masyarakat.

Mesyuarat Agung Tahunan DPPKS kali ini mencipta sejarah tersendiri dengan tiada pertandingan dalam pemilihan semua jawatankuasa DPPKS seterusnya mengekalkan kepimpinan sedia ada yang diyakini oleh perwakilan untuk terus menerajui Pemuda Kawasan setelah mereka kini genap mencapai usia 3 dekad.


Saudara Rosli bin Jusoh sekali lagi telah dilantik sebagai Ketua Pemuda DPPKS dan ini merupakan penggal kedua kepimpinan beliau dalam Dewan Pemuda PAS Serdang. 

Dalam ucaptama beliau menyatakan hanya dengan Islam sahaja mampu menyelesaikan segala permasalahan dunia. Secara keseluruhan, beliau berpendapat gerak kerja yang dilakukan oleh jawatankuasa Pemuda yang lepas pada tahap yang baik walau masih banyak lagi ruang perlu diperbaiki terutama di peringkat cawangan.

Advertisements