Oleh : Adib

05 Feb 2017 bersamaan dengan 08 Jamadil Awal 1438 merupakan tarikh yang dipilih oleh semua AJK Exco PAS Cawangan Bandar Sri Putra untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS. Muktamar PAS Cawangan Bandar Sri Putra (BSP) telah berlangsung pada tarikh 05 Februari 2017 yang bertempat di Dewan Hasan Al-Banna, Sekolah Integrasi as-Syakirin.

Uniknya pada hari itu juga berlangsung Majlis Perasmian Mesyuarat Agung bagi Cawangan Impian Putra dan Cawangan Bandar Bukit Mahkota digabungkan bersama Cawangan Bandar Seri Putra. Perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Nushi Mahfudz selaku Naib TYDP PAS Kawasan Serdang.

Mesyuarat yang bermula seawal jam 9.00 pagi telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Abu Ismail dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua-Ketua Cawangan Bandar Seri Putra, Impian Putra dan Bandar Bukit Mahkota. Seterusnya ucapan Perasmian telah disampaikan oleh Naib TYDP Kawasan Serdang iaitu Ustaz Nushi Mahfodz.

Dalam ucapannya, Ustaz Nushi mengharap Mesyuarat Agung ini dijadikan medan untuk mengukuhkan cawangan dari aspek tarbiyah dakwah dan siasah. Beliau menyeru diperkemaskan usrah, tamrin, tarbiah ruhiyyah secara peribadi, penambahan ilmu serta pengkaderan ahli-ahli baru.

Ahli-ahli digesa menyebarkan pengaruh dan peranan PAS, menjuarai isu-isu masalah masyarakat, menyebarkan dakwah dan penerangan berkenaan perjuangan islam.

Di akhir ucapannya, Naib TYDP menaruh harapan kepada semua ahli agar menyiapkan diri untuk terus istiqamah dalam perjuangan ini. Terlalu banyak kerja Islam yang perlu diselesaikan berbanding dengan jumlah kita yang sedikit ini.

Tingkatkan semangat pengorbanan, banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian dan dugaan. Tingkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap rukun-rukun baiah yang menjadi pegangan kita sebagai ahli jemaah Islam.

Firman Allah S.W.T : “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam, dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi mush dengan mencapai kemenangan)jika kamu orang-orang yang beriman”.

Setelah jamuan ringan, Cawangan Bandar Seri Putra meneruskan Mesyuarat Agung Tahunan di tempat yang sama sehingga tengahari manakala Cawangan Impian Putra akan meneruskan Menyuarat Agung pada sebelah malam di markas cawangan manakala Cawangan Bandar Bukit Mahkota pula akan meneruskan mesyuarat pada 11 Februari.

 

Advertisements