Oleh : Shehdi Hazrik

Balakong, 31 Januari 2017 – Jentera Pilihanraya PAS Kawasan Serdang bagi DUN Balakong telah membawa satu program Liqa Fikri yang berbeza dari sebelum ini dan sangat releven dalam mendepani pengundi yang majoriti di sana adalah pengundi berbangsa Cina.

PAS Serdang secara eksklusif telah membawa Dr Ann Wan Seng atau nama Islamnya Ann Abdullah sebagai pembentang kertas kerja yang bertajuk “Dakwah Kepada Orang Cina” julung kalinya dalam program Liqa Fikri mereka.

Dr Ann merupakan seorang tokoh NGO yang menyandang jawatan Setiausaha Kehormat, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Beliau juga merupakan Penolong Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Sebagai penerima Anugerah Saudara Muslim Cemerlang 2008 JAKIM, beliau sangat arif dengan pendekatan dakwah kepada masyarakat Cina kerana keunikan bangsa Cina itu sendiri.

Menurut beliau 35% populasi rakyat Malaysia adalah orang Cina dan paling kurang terdapat 14 suku kaum cina di negara ini seperti Hokkien, Shanghai, Shangto, Hailan, Honan, Hailam, Fuchau, Kongsai dan lain-lain lagi.

Manakala bahasa perantaraan semua masyarakat Cina di Malaysia ialah Mandarin, namun terdapat juga antara suku-suku mereka yang mempunyai dialek yang berbeza.
Menurut beliau lagi perbezaan suku di antara orang Cina boleh dikenali dengan perbezaan tempat dan pekerjaan. Contoh di Klang kebanyakan mereka dari suku Hauket, manakala Pulau Ketam pula suku Hau Chiw dan di Sibu pula ramai cina Fu Chau.

Pengisisan kali ini banyak memberi gambaran dan pengenalan di setiap tempat masyarakat Cina mempunyai sikap serta sifat mereka yang berlainan. Orang Islam terutama bangsa Melayu perlu memahami perkara yang tidak membatalkan aqidah dan syariah cuba untuk bertolak ansur dalam budaya mereka sebagai contoh, memakan makanan orang Cina yang halal atau memakai pakaian mereka selagi mana menutup aurat dan sebagainya.

Menurut Dr Ann lagi, sambutan Tahun Baru Cina sebenarnya boleh disambut oleh orang Islam. Hanya amalan kepercayaan mereka sahaja tidak boleh diikuti seperti perbuatan buang limau di tasik bagi pasangan yang hendak cari jodoh. Ada yang buang bawang untuk dapat suami yang baik. Ada pula yang buang sayuran untuk dapat menantu yang jujur. Ini semua amalan yang tidak boleh diikuti oleh orang Islam. Perayaan yang melibatkan dewa dewi tidak boleh disambut. Seperti Hari Wesak kerana memperingati Gautama Budha.

Masyarakat Cina ada pantang, antaranya tidak boleh bagi anak main dengan penyapu, sebab ia kotor, berhabuk dan berdebu; juga tidak boleh main chop stik kerana menganggu orang makan. Menurut beliau ini semua bukan perkara khurafat kerana ada sebab yang munasabah. Ia sepertimana pantang larang orang Melayu yang tak boleh potong kuku waktu malam sebab dahulu lampu tak terang kalau potong waktu malam takut terluka.

Penting untuk pendakwah berusaha menguasai bahasa Cina. Dr Ann juga memaklumkan bahawa Persatuan Cina Muslim Semalaysia ada sediakan kelas bahasa Mandarin dengan yuran hanya RM20 sebulan beserta nota. Kelas diadakan pada setiap hari Ahad.

Walau apapun beliau menegaskan yang penting umat Islam jangan takut untuk berdakwah kepada orang Cina.

[Gambar hiasan dari bukoe.com]

Advertisements