HULU SELANGOR – Latihan Pembinaan Kompetensi iaitu Fasa Ke-2 Kursus High Potential Talent anjuran Akademi Kepimpinan Pemuda PAS Malaysia (AKP DPPM) telah berlangsung di Kalumpang Resort pada 13 hingga 15 Januari 2017. 

Kursus 3 hari 2 malam ini menggabungkan kaedah “experiental learning”, permainan pengurusan, pembentangan tugasan, “role play” dan perkongsian maklumat oleh jurulatih berpengalaman dalam bidang pengurusan, kemahiran berfikir dan penampilan. 

Para peserta adalah mereka yang menunjukkan inisiatif dan bakat kepimpinan cemerlang di peringkat kawasan dan negeri masing-masing. Antara modul yang terangkum di dalam Latihan Kompetensi ini adalah kemahiran pengurusan diri, organisasi dan masyarakat termasuk kemahiran mengurus masa, ketrampilan, membuat keputusan, membina pengaruh, pengurusan projek dan pengurusan strategi dan taktikal.

Penampilan khas oleh Dr Khazani, dari Lajnah Pemerkasaan Parti PAS yang membentangkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta situasi politik semasa di Malaysia begitu menarik perhatian peserta yang tidak putus-putus bertanyakan soalan berkenaan pendekatan baru PAS ini.  

Kursus diakhiri dengan slot “Tranformational Leaders” oleh Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Hj Ir Khairil Nizam bin Khiruddin. Menurut beliau, HPT perlu istiqbali atau “futuristic” dalam berfikir untuk menentukan visi dan misi jemaah serta berusaha untuk meninggalkan legasi perjuangan sebagai bekal amalan untuk dibawa ketika menghadap Allah di akhirat kelak. 

Beliau juga menegaskan tentang keperluan kepada “transformational and situational leaders” iaitu pemimpin yang dapat membawa arus perubahan kepada jemaah melalui pendekatan yang terkini dan tersusun serta berani mendepani cabaran-cabaran semasa. 

Bagi melahirkan pemimpin seperti ini, keperluan kepada pendidikan dan tarbiyah yang berterusan amat perlu supaya pemimpin yang dilahirkan adalah pemimpin yang betul-betul layak memegang tampuk kepimpinan jemaah yang penuh cabaran dan rintangan. 

Program seterusnya dalam siri HPT ini adalah MyHackaton di mana peserta akan berpeluang menterjemahkan ilmu dan pengalaman yang dikutip daripada Fasa 1 dan 2 HPT ini sambil menyelesaikan masalah masyarakat dan negara.

Advertisements