Kajang, 16 Januari – Islam yang kita anuti ini mestilah diamalkan dan digerakkan di dalam masyarakat secara praktikal, bukan sekadar retorik yang meniti di bibir. Begitulah muqaddimah pengisian Ustaz Nushi bin Dato’ Mahfodz selaku naqib dalam Usrah Gabungan Muslimat PAS Putra-Mahkota (Bandar Bukit Mahkota, Bandar Seri Putra dan Taman Impian Putra) pada 13hb Januari yang lalu.

Memberi contoh yang mudah, beliau memetik doa bangun tidur yang diajar oleh Rasulullah. Doa itu dimulakan dengan lafaz “alhamdulillah” seolah-olah mendidik umatnya agar sentiasa positif, bersyukur kepada Allah dan optimis terhadap hari mendatang dan masa depan Islam.

Pun begitu, lafaz alhamdulillah tersebut hakikatnya tidak memadai untuk menggambarkan rasa syukur kita atas nikmat umur yang dianugerahkan-Nya dan perlu diterjemah dalam bentuk tindakan sebagaimana doa tersebut juga diakhiri dengan tindakan “wa ilaihi annusyur” (dan kepadaNya kita kembali) yang bersifat “action plan”, perancangan untuk bertindak.

Justeru, menjadi suatu tuntutan dan disiplin khususnya bagi golongan lelaki di dalam keluarga untuk mengutamakan Allah dalam segenap aspek kehidupannya seawal subuh untuk melapor diri dengan mengerjakan solat subuh berjemaah di surau atau masjid. Maka jelaslah, agama Islam jauh dari sekadar bersifat retorik tetapi sebenarnya ia bersifat “action-oriented”, fokus kepada tindakan.

Selain itu, doa tersebut juga menggunakan kata ganti nama ‘kami’ iaitu kata jamak atau ‘plural’. Prinsip yang sama dapat diperhatikan di dalam surah al Fatihah dan doa-doa lain. Ini boleh ditafsirkan sebagai suatu petunjuk untuk umat Islam berjemaah dan bekerja secara berkumpulan dalam gerak kerja amal Islami supaya mendapat hasil yang optimum dengan cara yang efisyen.

Seterusnya, dalam konteks memahami tuntutan bekerja di dalam sesebuah harakah Islamiyah, Ustaz Nushi mengingatkan para muslimat agar memulakannya dengan menjadi da’ie dalam keluarga sendiri terlebih dahulu. Antaranya menyediakan prasarana dan persekitaran di dalam dan luar rumah yang kondusif untuk mengenai Allah dan beribadat kepada-Nya. Contohnya menyediakan buku yang mengangkat dakwah dan ilmu Islam dalam pelbagai genre, hiburan Islami, sudut ibadat, jadual membaca Quran, carta amalan dan sebagainya.

Seterusnya, pendidikan awal anak-anak yang selamat dan sejahtera wajib dititikberatkan untuk melorongkan potensi hebat anak-anak ke posisi yang pelbagai di dalam masyarakat – sama ada bakal doktor, peguam, guru, pensyarah, peniaga, surirumah dan sebagainya. Tujuan akhir adalah memenuhi tuntutan dakwah itu sendiri dengan mengajak manusia kepada Allah swt dan menjauhi segala bentuk kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing selain memenuhi bidang kepakaran fardu ain dan fardu kifayah yang diperlukan ummah.

Walau bagaimana pun, tanpa menafikan kepentingan menuntut ilmu, beliau mengingatkan para muslimat agar tidak hilang fokus ketika mengejar ilmu. Dewasa ini, sumber ilmu dari pelbagai aliran dan wadah amat mudah diperolehi. Antaranya kuliah di surau dan masjid, ’live broadcast’ dari Youtube dan Facebook, ceramah di radio dan TV serta pelbagai bentuk seminar dan lain-lain. Dalam kerancakan suasana ilmu ini, kita mudah terperangkap dalam perbahasan yang kadangkala berakhir dengan perbalahan mengenai perkara furu’ (cabang) dan titik bengik yang tiada berkesudahan.

Sebagai peringatan bersama, beliau mendatangkan kisah Abdullah bin Umar yang pernah ditanya oleh seorang penduduk Iraq tentang hukum darah nyamuk yang dipukul semasa di dalam ihram. Pertanyaan tentang hukum fiqh itu disambut dengan sindiran oleh Abdullah bin Umar apabila darah nyamuk lebih mendapat perhatian para pencinta ilmu yang datang sejauh Iraq semata-mata untuk bertanya mengenai hukum darah nyamuk berbanding darah cucu Rasulullah saw, Saidina Hussin yang mereka tumpahkan.

Begitulah sejarah berulang kini apabila segelintir umat Islam masih sibuk dan terperangkap membahaskan perkara furu’ dan khilafiyyah (kepelbagaian pendapat) sehingga terlupa fokus yang lebih besar iaitu menghadapi serangan fikiran daripada zionis dan sekutunya.

Ustaz Nushi seterusnya menyentuh isu politik antarabangsa tentang campur tangan asing di negara-negara umat Islam sejak dahulu lagi sehingga berlaku huru-hara yang dahsyat seperti di Iraq, Mesir, Syria dan Yaman. Musuh Islam akan sentiasa memainkan sentimen nasionalis, perkauman dan mazhab untuk memecah belahkan umat Islam. Strategi pecah dan perintah (divide and rule) akan terus dimainkan dan ditambah pula dengan perencah “confuse and control” dewasa ini.

“Percayalah, kuasa asing akan sentiasa terus mencuba masuk ke negara-negara umat Islam melalui “atas” (pemimpin negara) dan “bawah” (pembangkang atau rakyat). Belajarlah daripada sejarah. Siapa ingat bagaimana Inggeris mendapatkan Pulau Pinang kalau tidak kerana ada suara keizinan daripada “atas” seperti Raja Abdullah Kedah. Bagaimana pula Portugis mampu menawan dan menguasai Melaka pada tahun 1511 kalau tidak ada pembelotan dan pengkhianatan dari “bawah” yakni rakyat. Bagaimana pula kerajaan Turki Uthmaniyyah boleh jatuh kalau tidak kerana sentimen perbezaan bangsa dan nasionalis yang dicanang oleh British.”

“Ya, kita benci kepada penyelewengan dan kezaliman pemimpin negara tapi kita tidak boleh menggadaikan kedaulatan tanahair kepada kuasa asing. Kita ada manhaj, kita ada sandaran dalam membuat keputusan dan bertindak. Kita ada Islam. Sebab itu kita memilih untuk menentang kezaliman pemerintah melalui jalan dakwah dan pilihanraya. Kita tidak mahu sekadar melihat jatuhnya “pemimpin zalim” seperti Hosni Mubarak, Saddam Hussein, Muammar Qaddafi dan lain-lain tetapi akibatnya kedaulatan negara terlucut dan hanya diganti dengan “puppet” yang dicatur oleh “puppet master””.

Sesi usrah yang mantap dan dinamik ini dipenuhi interaksi dua hala dan diselang-seli dengan beberapa “game” untuk menzahirkan dan menterjemah konsep yang dibincangkan dalam bentuk praktikal dan mudah difahami. Ustaz Nushi bin Dato’ Mahfodz selaku Timbalan Yang Dipertua PAS Serdang mengakhiri usrah dengan peribahasa Melayu; ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk. Ketinggian ilmu mestilah membuat kita sujud, tunduk dan patuh kepada Allah dengan tawadhuk dan taqwa. Bukan sekadar tunduk merendah diri sesama manusia. Beliau sempat berpesan agar para muslimat istiqamah menghadiri usrah untuk membina kefahaman, memegang halatuju dan tindakan yang seragam antara ahli.

Usrah Muslimat PAS diadakan dua minggu sekali di cawangan Bandar Bukit Mahkota, Bandar Seri Putra dan Taman Impian Putra. Selain itu, juga turut diadakan Usrah Gabungan ketiga-tiga cawangan ini tiga kali setahun. Untuk ahli yang ingin menghadiri usrah samada di Bandar Bukit Mahkota, Bandar Seri Putra atau Taman Impian Putra boleh menghubungi 019-3887605.

Advertisements