Oleh Nooraziezan

Kajang, 3 Januari 2017- Seramai 50 orang golongan kurang berkemampuan telah menyertai program Back to School anjuran PAS Kawasan Serdang pada 31 Disember yang lalu.

Sumbangan peralatan sekolah seperti beg, alat tulis dan buku telah diberikan pejabat ADUN Bangi. Selain itu, mereka turut menerima wang sumbangan ahli PAS Bandar Bukit Mahkota, Bandar Seri Putra dan Taman Impian Putra bagi meringankan kos perbelanjaan sekolah.

Dalam program tersebut, ADUN Bangi, Yb Ustaz Shafie Ngah sempat menerangkan pelbagai program Merakyat Ekonomi Selangor (MES) yang ditawarkan kerajaan negeri untuk membantu rakyat Selangor.

“Di bawah program MES, rakyat Selangor telah mendapat pelbagai kemudahan seperti air percuma. Terbaru adalah kad Perubatan Skim Peduli Sihat Selangor. Rakyat Selangor seharusnya peduli dan mengambil bahagian dalam program ini untuk menampung kos perubatan keluarga”.

Di samping itu juga, kebanyakan peserta yang hadir menunjukkan reaksi gembira kerana mendapat sumbangan dan dapat beramah mesra dengan pimpinan masyarakat setempat dengan lebih dekat.

Program ini turut dihadiri Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) zon 22 hingga 24, Puan Hamsatul Hamzah, Husni Abd Manan dan Hj Ahmad Yusof.

Selain itu, pelancaran NGO Persatuan Kebajikan Muslim Putra Mahkota turut diadakan dalam program berkenaan.

Advertisements