oleh : Aisyah Yamin

Bangi, 19 Nov – Temasya Sukan Tahunan Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Ilmuwan, SRITI telah berlangsung dengan gilang-gemilang hari ini.

Kejohanan kali ini telah dirasmikan oleh YB Ustaz Shafie Ngah merangkap ADUN Bangi. Turut hadir, Profesor Dato’ Dr Halim Bin Tamuri, wakil NGO Ilmuan, penaung SRITI/SMITI dan Haji Ahmad Mokhtaza, Pengurus Besar SRITI/SMITI.

Antara acara yang dipertandingkan ialah balapan, sukaneka, hiasan khemah terbaik dan perbarisan terbaik selaras dengan objektif program – menyahut seruan agama dan sunnah Rasullulah dengan mengamalkan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan seperti bersukan.

“Kalah menang merupakan adat dalam pertandingan. Dalam apa jua kejohanan, semangat berpasukan yang tinggi diperlukan. Kekalahan bukan bererti gagal sebaliknya langkah untuk berjaya.”

Menurut Yang Berhormat lagi, sukan tahunan peringkat sekolah yang diadakan di Padang Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Pendidikan Islam Bangi ini merupakan gelanggang untuk mengasah bakat para pelajar seimbang dengan aspek JERIS – jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial sekaligus menyemai benih perpaduan sesama komuniti.

Sementara itu, Sukan Sekolah Menengah Integrasi Tahfiz Ilmuwan , SMITI juga diadakan serentak di padang SK Jalan Enam, Bangi melibatkan 200 pelajar dan guru-guru.

Sehubungan dengan itu, pihak penganjur mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Ahli Majlis Zon 22 Puan Hamsatul Azura, Pejabat ADUN Bangi, MILO, pengurusan sekolah, ibu bapa dan pelajar-pelajar yang sudi bekerjasama dalam menjayakan temasya sukan SRITI/SMITI ini. Tidak lupa kepada Jabatan Amal Serdang yang mengawal trafik dan Kor Medik Jabatan Amal yang bersiao siaga dengan bantuan kecemasan.

Advertisements