Oleh : Aisyah yamin

Bangi, 17 November 2016 – Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) Cawangan Asia Tenggara, dengan kerjasama Akademi Al-Ghazali dan Ikatan Ilmuan Nasional (ILMUAN) telah menganjurkan forum ilmiah Analisis Pilihanraya Presiden Amerika bertempat di Dewan Seminar, Masjid Hasanah, Bangi.

Pemilihan Trump sebagai  Presiden ke-45 Amerika Syarikat pada 20 November menggemparkan dunia. Justeru, forum ini bertujuan menganalisis hakikat kemenangan Trump dan bacaan politik terhadap umat Islam pada masa depan.

Forum kali ini menampilkan Dr. Mohd Atiullah Othman (Felo Akademi Al-Ghazali) dan Dr Wan Nik Wan Yusof (Ketua Kluster Sains politik ILMUAN) selaku panel. Turut hadir, Ustaz Fadli Ghani dari Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) selaku moderator.

“Pelan 100 hari pemerintahan sudah dirancang rapi oleh Trump sebelum kedudukannya sebagai Presiden Amerika disahkan. Trump menumpukan 100 hari ini hanya menumpukan dasar-dasar dalam negara”

Pilihanraya Presiden Amerika 2016  merupakan penghujung kepimpinan Demokrat dan permulaan era baru Republikan di bawah kepimpinan Trump yang divisif dan radikal.

Trump mempersoalkan keupayaan Obama antaranya dalam memenuhi tuntutan Israel, polisi memberi kerakyatan kepada pendatang luar; juga perdagangan terbuka yang membawa lambakan barangan import dan pengecutan peluang pekerjaan di Amerika. Trump menuduh Obama lemah apabila gagal membendung ISIS.

Sikap Trump yang begitu rasis terhadap orang Islam, sanggup menghalau pendatang luar dan orang Islam serta pro Israel berjaya membangkitkan semangat nasionalisme (perkauman kulit putih) sehingga majoriti rakyat Amerika memilih Trump sebagai Presiden mereka.

Walaupun Trump kelihatan jelas memusuhi Islam, Clinton juga tidak jauh berbeza sehingga Tuan Guru Hadi Awang menyifatkan kedua-dua tokoh ini ibarat singa dengan buaya – Trump mengaum dan menerkam, Clinton walaupun senyap di air tenang, tetap menyerang dengan gigitan yang mencengkam.

Sebelum Trump, selama tempoh lapan tahun Obama menerajui Amerika, dunia mengimpikan keamanan dan pembelaan terhadap Islam. Namun, realitinya Amerika terus membaham umat Islam. Mana mungkin pemimpin Yahudi akan memberi laba kepada umat Islam? Perkembangan terbaru ini menyeret umat Islam ke era penentangan zahir yang keras dan kuat. Ini bukanlah sesuatu yang tidak dijangka memandangkan usia zaman yang menghampiri penghujungnya.

Umat Islam di akhir zaman perlu menguatkan hubungan dengan Allah, bersatu hati dan mengelakkan perpecahan atas tiket bangsa, negara, mazhab, politik, pasukan bola dan sebagainya.

Advertisements