Oleh : Aisyah Yamin

Bangi – Kuasai media baru untuk kuasai anak muda. Ini matlamat PAS Serdang dalam siri-siri latihan media baru yang telah diadakan. Terkini, pada 21 Oktober 2016 PAS Serdang dengan kerjasama Akademi Latihan IT (ALIT) PAS Pusat serta Jaringan Siswazah Serdang telah menganjurkan bengkel media baru iaitu aplikasi Instagram.

Bengkel ini dikendalikan oleh Puan Nadhrah Mohammad daripada ALIT.Turut hadir, Puan Faridah, pengetua Akademi Latihan IT (ALIT), Saudara Shuhaimi Embong, Pengarah Jabatan IT Pas Pusat dan Exco Jaringan Siswazah Malaysia (JASA), Saudara Faizal Mahmud, Ketua Lajnah Penerangan, IT & Media Baru Pas Serdang dan Haji Mohktaza, selaku Setiausaha PAS Serdang.

“Sekarang saya lebih faham dan boleh ikuti konsep Instagram terkini.” Ujar salah seorang peserta.

Seorang peserta lain turut mengulas, Instagram dipilih kerana ia menyampaikan mesej merentasi sempadan masa dan tempat dengan kapasiti yang besar dan pantas. Instagram menjadi tempat berkumpul anak muda yang boleh dijadikan sasaran dakwah Islam.

“Bengkel sebegini wajar diteruskan dan berupaya membantu ahli PAS untuk memahami kaedah media baru dan giatkan usaha dakwah di media baru termasuk instagram, wechat dan twitter. Moga kita berjaya menjadikan Instagram sebagai 1 medium dakwah yang mudah”, ujar Puan Nadhrah, semasa mengulas berkenaan peserta yang rata-ratanya terdiri daripada Ahli JASA dan ahli PAS kawasan Serdang.

Selain itu, Akademi Latihan IT PAS Pusat juga menawarkan beberapa bengkel lain termasuk keselamatan cyber, fotografi, design, website dan sistem.

Latihan dan bengkel akan diadakan dari masa ke semasa dan orang ramai juga boleh menjemput ALIT sebagai “trainer” di tempat masing-masing.

Save

Advertisements