Bangi, 24 Oktober 2016 – PAS Serdang perlu serius melakukan pendekatan terhadap rakyat khususnya di peringkat akar umbi sekiranya inginkan sokongan pada pilihanraya umum akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, YB Ustaz Shafie Ngah berkata, setiap peringkat kawasan perlu berusaha keras memenangi hati rakyat bermula dari sekarang.

“Kita telah melakukan pelbagai aktiviti kebajikan untuk membantu rakyat. Ia juga adalah salah satu cara menarik mereka kepada kita”.

“Sekarang, saya lihat sukan adalah medium terbaik untuk rapat dengan masyarakat akar umbi terutama golongan muda”.

Sehubungan itu, pelbagai aktiviti sukan telah dirangka dan dijalankan oleh PAS Serdang untuk rakyat disemua peringkat. Antaranya adalah Liga Sukan Selangor Plus Peringkat DUN Bangi bagi kejohanan sukan sepak takraw dan futsal di Kajang Utama dan bola jaring di Laman Komuniti, Seksyen 7.

Selain itu, perlawanan catur dan aktiviti Jom Fit turut dianjurkan untuk rakyat ikuti.

“Semua aktiviti sukan yang dianjurkan turut menjadi platform kepada rakyat untuk mengenali antara satu sama lain dan membolehkan rakyat berinteraksi dengan pimpinan setempat dengan lebih dekat lagi”, tambah ADUN Bangi semasa merasmikan Liga Sukan Selangor Plus tersebut.

Save

Advertisements