Bangi, 26 September 2016 – Dalam meraikan kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia, Pusat Khidmat ADUN Bangi dan Pejabat Ahli Majlis MPKj Zon 22 buat julung kalinya telah menganjurkan Festival Kuih Bulan dan Tanglung di Padang Awam Fasa 6, Bukit Mewah semalam.

Festival yang dihadiri pelbagai masyarakat terutama kaum Cina ini telah dirasmikan oleh ADUN Bangi iaitu YB Ustaz Shafie Ngah. Dalam ucapannya, beliau telah menyeru agar semua bangsa menjaga dan memelihara kesepakatan dan perpaduan kaum yang telah dibina kukuh selama ini.

“Kita sebagai sebuah negara majmuk harus bersama-sama mengekalkan keharmonian dan keutuhan perpaduan yang ada di negara ini terutama di DUN BANGI”.
Turut berlangsung pertandingan mencipta tanglung oleh kanak-kanak dan pengedaran kuih bulan kepada tetamu yang hadir. Kuih ini telah ditempah khas dari Selat Klang dan ia halal dimakan oleh masyarakat beragama Islam.

Bagi masyarakat cina, Festival Kuih Bulan turut dikenali dengan Pesta Perpaduan kerana ia sinonim dengan bulan penuh yang akan muncul di langit. Bulan penuh ini melambangkan keluarga yang lengkap dan bersatu.

Advertisements