BANGI – Seramai 40 buah keluarga dari golongan memerlukan di Flat Jubli Perak telah menerima sumbangan makanan asasi selepas solat Zohor di Surau Al-Ikhwan Jubli Perak, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi.

Program yang dinamakan “Berilah Makanan” kepada golongan memerlukan ini adalah lanjutan Program Sekampit Beras kepada golongan penoreh getah pada bulan Mac yang lalu. Ia juga sebagai persiapan menghadapi Ramadan yang akan datang.

“Berilah Makanan” merupakan inisiatif yang baik anjuran Masjid Al Hasanah, Jabatan AMAL Serdang dan Pejabat Adun Bangi. Ia memberi fokus kepada golongan miskin bandar dan memerlukan.

ADUN Bangi, YB Ust Shafie Ngah memuji program yang diadakan ini dan berharap agar dapat dicontohi oleh masjid dan surau-surau lain di DUN Bangi. “Program ini harus diadakan secara berterusan dan turut dilakukan di seluruh masjid dan surau-surau di DUN Bangi”.

“Kempen Berilah Makan adalah mengambil contoh sebagaimana hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Salam saat baginda sampai di Madinah dalam peristiwa hijrah. Baginda menyeru untuk memberi makanan kepada golongan memerlukan disamping sebarkan salam, hubungkan silaturrahim dan mendirikan solat malam.” Tambah beliau.

Turut hadir dalam majlis penyerahan makanan ini adalah Nazir Masjid Hasanah, Dato’ Ust Abdullah Md Din, Pengerusi Surau, Prof Dr Hj Miskandar Mat Sahri dan Imam Ust Nasron Duki.

Terima kasih dan tahniah kepada para penyumbang. Moga Allah ganjari dengan sebaik-baik ganjaran.

Advertisements