Bangi – Seramai hampir 80 orang anak-anak berumur antara 7 hingga 15 tahun telah menyertai pertandingan hafazan AlQuran peringkat Parlimen Serdang anjuran Lajnah Pendidikan PAS Serdang di Surau Ar-Rahmaniyah Teras Jernang pada Sabtu lepas.

Pertandingan yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, YB Ustaz Shafie Ngah ini telah mendapat sambutan luar biasa daripada para ibu bapa. Menurut ADUN Bangi, pertandingan seperti ini harus diadakan secara berterusan dan diletakkan dibawah Biro Pendidikan ADUN di samping membina kerjasama dengan pihak JAIS.

“Saya cadangkan agar program ini dapat diteruskan dan ia diletakkan dibawah Biro Pendidikan ADUN dengan kerjasama JAIS”.


Program sebegini juga merupakan antara salah satu cara untuk merealisasikan impian 1 rumah 1 huffaz.
Sebanyak 3 kategori telah dipertandingkan iaitu kategori A untuk anak-anak berumur 7 hingga 9 tahun. Ia telah dimenangi oleh Muaz bin Abdul Jalil. Kategori B untuk anak-anak berumur 10 hingga 12 tahun dan telah dimenangi oleh Nur Ameerah Suhada’ bt Mohd Nizam. Manakala kategori C untuk anak-anak berumur 13 hingga 15 tahun dan dimenangi oleh Hafiy bin Muhammad Radhi.
Kebanyakan ibu bapa yang ditemui mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan berharap agar ia dapat diteruskan pada tahun hadapan.

Advertisements