Oleh : jurjani

Bangi, 21 Mei – Bandar Seri Putra menjadi saksi terjalinnya hubungan mesra antara golongan berkemampuan dengan golongan kurang bernasib baik. Dalam pada itu, seramai 21  orang anak yatim, serta para ibu tunggal dan golongan OKU berjumlah 76 orang menjadi ‘tetamu kehormat’ yakni VVIP pada hari tersebut. Turut diraikan adalah mangsa banjir dari Kampung Bangi Tambahan.

Program Free Market: Ambang Ramadhan ini merupakan sebahagian dari usaha PAS Bandar Seri Putra (BSP) serta Pusat Khidmat Masyarakat Setempat (PKMS) Putra Mahkota untuk membudayakan sikap gemar bersedekah di kalangan masyarakat BSP serta masyarakat sekitar. Bahkan ianya menjadi ruang mengenali dan mengukuhkan silaturrahim sesama penduduk BSP serta membumikan identiti PAS dalam komuniti BSP.

IMG-20160521-WA0024

Dalam menjayakan agenda kebajikan ini, seramai 30 individu serta keluarga telah menjadi penyumbang barangan serta wang tunai. Lebih mengejutkan, sebanyak 6 buah restoran sekitar Bandar Seri Putra bertindak sebagai penaja makanan dan minuman bagi program ini. Menurut penganjur, Free Market ini turut disertai warga dari Taman Impian Putra, Bandar Bukit Mahkota dan luar Bangi. Keberadaan Ahli Majlis Zon 24 MPKj,  Encik Ahmad bin Yusof tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan peribadi beliau.

IMG-20160521-WA0022

Antara barang yang disumbangkan adalah beras, minyak masak, pakaian, peralatan rumah serta koleksi barangan kosmetik. Lebih unik, seorang penyumbang melaksanakan kenduri aqiqah anaknya dengan menjamu ‘tetamu kehormat’ dengan gulai kambing.

Antara lain, kaunter pendaftaran program ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ serta keahlian PAS turut mendapat sambutan dari pengunjung. Program ini turut diceriakan dengan aktiviti memanah dan ‘giant bubble’ untuk  anak-anak cilik.

Rata-rata penyumbang serta pengunjung menzahirkan rasa gembira dengan penganjuran program seumpama ini serta menyokong agar ianya diadakan dengan lebih kerap. Dalam pada itu, para ‘tetamu kehormat’ dari kalangan anak yatim, ibu tunggal, OKU dan mangsa banjir turut berasa amat terharu  dengan layanan serta sumbangan yang diterima oleh mereka.

Sebagai penasihat program, YB Ustaz Shafie Ngah amat mengalu-alukan serta berterima kasih dengan sikap prihatin para penyumbang yang bersama-sama berkongsi rasa dan musibah yang dialami oleh penerima. Meskipun kecil, sumbangan yang diterima memberi erti yang amat bermakna buat mereka. Bagi pihak ADUN Bangi, YB Ustaz Shafie Ngah mengucapkan tahniah kepada PAS cawangan Bandar Seri Putra dan PKMS Putra Mahkota yang telah memainkan peranan penting menautkan rasa kebersamaan dikalangan penduduk setempat.

Advertisements