Bangi, 8 Mei – “PASTI tidak pernah mengajar politik pada pelajarnya. Tapi, PASTI mengajar nilai-nilai Islam dan pendidikan mengikut silibus PASTI yang selari dengan kurikulum kebangsaan”. Jelas Ustaz Nushi b Dato’ Mahfudz, Timbalan Yang Dipertua PAS Sedang semasa merasmikan Sukan Tahunan PASTI Ar Raihan di Dewan Orang Ramai Pekan Bangi hari ini.

Menurut beliau, fitrah anak prasekolah ialah belajar sambil bermain dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) cuba menyediakan bimbingan dan platform terbaik untuk memenuhi fitrah itu sambil memberi penekanan terhadap nilai Islam. Ini adalah untuk mempersiapkan anak-anak menghadapi cabaran dunia luar.

Selain itu, beliau turut merayu ibubapa agar memberi perhatian kepada perkembangan mental dan emosi anak-anak. Perhatian dan kasih sayang ibubapa tidak dapat digantikan dengan objek materialistik seperti mainan mahal, permainan video dan sebagainya.

Sukan tahunan ini telah disertai 140 orang pelajar, 14 guru dan kakitangan PASTI Ar Raihan dan 300 ibu bapa. Ia bertujuan membina semangat kesukanan, memupuk kerja berpasukan dan meraikan fitrah kanak-kanak yang suka bermain.

Sebanyak 8 hamper sumbangan Pejabat ADUN Bangi telah menambah kemeriahan. Sukan tahunan ini turut dibantu oleh AJK PAS Cawangan Bukit Mahkota dan Jabatan Amal Kawasan Serdang.

Advertisements