Oleh: Wan Nooraziezan

Bangi, 16 Mei – Dewan Muslimat PAS Kawasan Serdang (DMPKS) telah membuat kejutan kepada para guru dengan menghantar kek kepada mereka sempena Hari Guru yang disambut hari ini.

Sebanyak 10 buah sekolah di Dun Bangi telah dipilih oleh DMPKS untuk menerima kek penghargaan tersebut.

Menurut Ketua Muslimat DMPKS, Puan Hamsatul Hamzah, aktiviti ini merupakan salah satu cara untuk menghargai para guru.

“Buat julung kalinya DMPKS mengambil inisiatif untuk bertemu para guru di sekolah. Ia adalah penghargaan kami terhadap jasa mereka mendidik generasi muda kita tanpa lelah”.

Di samping itu, Puan Norhabibah Mohd Nor, Ketua Lajnah pendidikan DMPKS menegaskan bahawa aktiviti ini adalah untuk mengeratkan silaturahim antara DMPKS dan guru-guru yang mengajar di sekitar Serdang.

“Selain itu, kami berharap agar satu kerjasama dapat dijalinkan untuk meletakkan pendidikan sebagai wadah utama pembangunan insan”.

Para guru yang menerima kek tersebut melahirkan rasa berbesar hati atas kunjungan dan hadiah yang diberikan.

“Saya mewakili Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Ilmuwan (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Tahfiz Ilmuwan (SMITI) mengucapkan terima kasih kepada DMPKS atas ucapan dan kek yang diberi”, ujar Cikgu Azmawati dari SMITI.

Tema hari guru yang dipilih peringkat kebangsaan pada tahun ini adalah “Guru Pembina Negara Bangsa”.

Advertisements