Oleh : Wan Nooraziezan

Bangi, 15 Mei – Buat julung kalinya, PAS Teras Jernang dengan kerjasama Surau Arrahmaniyyah dan Jawatankuasa Perunding dan Penduduk (JPP) Zon Sungai Merab telah menganjurkan program Mahabbah & karnival Jom Sihat di Surau Arrahmaniyyah pada pagi ini. Program yang bermula dari pagi sehingga tengah hari itu telah dirasmikan oleh En Razali Kassim selaku Pengerusi JPP zon Sungai Merab.

Dianggarkan lebih dari 300 orang pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat dan kaum seperti melayu dan India telah hadir untuk menjayakan program tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti ceramah kesihatan keluarga dan pemakanan sihat, pemeriksaan kesihatan dan rawatan gigi telah diberikan secara percuma kepada pengunjung yang hadir.

Bagi meraikan semua lapisan umur, pelbagai acara sukaneka telah dilaksanakan seperti sumpit kaum ayah, bowling padang muslimat, mewarna kanak-kanak, pertandingan gasing anak remaja, ping pong dewasa dan remaja dan lain-lain lagi.

Ustaz Soleh Abdullah, Ketua Cawangan PAS Teras Jernang merangkap pengerusi surau Ar-Rahmaniyyah telah melahirkan rasa berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan.

“Saya bersyukur kerana kita dapat menganjurkan program seperti ini. Terima kasih dan penghargaan kepada Saudara Zulkefli Hamat atas usaha yang dicurahkan.”

“Saya juga sangat gembira apabila melihat ramai yang hadir. Anak-anak kecil, remaja, dewasa dan ibu bapa semua sangat teruja dengan aktiviti yang kita anjurkan.”

Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada Muslimat PAS Teras Jernang, Jawatankuasa PAS Cawangan dan Komuniti Jalan Rahmat yang turut sama membantu menjayakan program.

Program turut dijayakan oleh doktor perubatan, pergigian, pakar pemakanan serta pakar sakit puan.

Selain itu, program ini diadakan bagi merapatkan ukhuwwah antara ahli komuniti Jalan Rahmat khususnya dan Penduduk Kampung Teras Jernang, Desa Sentosa dan sekitarnya.

Advertisements