Oleh : Tuan Ajma

Bangi: Isu perobohan Kuil Muniswaran oleh Majlis Perbandaran Kajang yang bertempat di Apartment Senja Taman Bukit Mewah telah mendapat perhatian serius daripada Yang Berhormat Ustaz Shafie Ngah selaku ADUN Bangi.

Kuil tersebut telah dibina tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa kerana ia berdekatan dengan kediaman penduduk. Selain itu, tapak kuil tersebut juga tidak diwartakan sebagai tempat ibadat penganut bukan Islam dan dibina tanpa mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Sehubungan itu, satu notis pemberitahuan untuk merobohkan kuil berkenaan telah dihantar oleh pihak kerajaan negeri dan MPKj sejak Jun 2014.

Walaubagaimana pun, satu perbincangan telah diadakan antara ADUN Bangi dengan penganut Hindu semasa tinjauan beliau ke kuil berkenaan pada 27 April 2016. Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh perobohan sehingga 15 Mei 2016 demi memberi laluan kepada penganut agama Hindu menyambut ulangtahun kuil Muniswaran.

Turut hadir dalam tinjauan tersebut, Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Puan Hamsatulazura beserta beberapa pengawai Jabatan Penguatkuasa MPKj dan Jabatan Kawalan Bangunan MPKj.

Advertisements