Bangi, 19 Mac 2016 – Memasak dengan wanita sememang sudah sebati sejak dahulu lagi. Tambahan pula bakat yang diasah boleh dimanfaatkan untuk menjana ekonomi keluarga dan masyarakat.

Sehubungan itu, Pusat Wanita Berdaya (PWB) dengan sokongan Pusat Khidmat Masyarakat Setempat (PKMS) ADUN Bangi Seksyen 4 telah menganjurkan Bengkel Memasak Pelbagai Roti dan Pizza.

Bengkel ini telah berlangsung dengan meriah sekali serta dihadiri 41 orang  ibu tunggal dari pelbagai peringkat termasuk suri rumah dan yang berkerjaya.

Rata-rata peserta melahirkan rasa puas hati dengan ilmu membuat roti yang diperolehi serta menyatakan kesungguhan untuk membuat roti dan pizza sendiri di rumah untuk hidangan keluarga. Bahkan terdapat peserta merancang untuk berniaga secara kecil-kecilan selepas menghadiri bengkel ini. Sejuta penghargaan dilahirkan oleh para peserta kepada penganjur dan guru yang mengajar.

Memandangkan Bengkel Memasak PWB Dun Bangi ini mendapat sambutan yang menggalakkan, bengkel ini akan diteruskan secara berkala di sekitar kawasan Bangi bagi meningkatkan potensi kaum wanita Bangi khasnya bagi yang ingin menambah kemahiran serta pendapatan. Dengan kerjasama pelbagai pihak terutamanya NGO, Persatuan Penduduk, masjid, surau serta organisasi yang berminat, bengkel memasak pelbagai resepi seumpama ini akan menjadi agenda yang konstruktif.

Majlis Perasmian Penutupan disempurnakan oleh ADUN Bangi, YB Ustaz Shafie Ngah. Turut hadir dan memberi ucapan ringkas adalah Ahli Majlis MPKj, Puan Hamsatulazura Hamzah serta Pengerusi Persatuan Berdaya Ibu Tunggal Bangi (BitBangi), Puan Arbaisyah Misman.

Advertisements