Benarkah menjahit jubah merupakan pekerjaan yang rumit? Inginkan jubah yang cantik, tetapi tidak mampu membayar kos upah yang tinggi? Lambakan iklan jubah anggun kerap menggamit kita di media sosial dan papan iklan. Menyedari trend jubah muslimah yang menjadi fenomena masa kini, Dewan Muslimat PAS Kawasan Serdang (DMPKS) dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Bangi dan Biro Wanita Masjid Al Hasanah telah mengadakan Bengkel Menjahit Jubah. Dengan sokongan kewangan dari ADUN Bangi, bengkel ini telah berlangsung selama 2 jam, dengan dengan 4 slot sesi iaitu pada  14, 21 dan 28 Februari serta 13 Mac 2016 di Dewan Kuliah Masjid Al Hasanah.

Seramai 27 orang peserta terdiri dari golongan ibu tunggal, berpendapatan rendah dan suri rumah. Para peserta menunjukkan minat yang mendalam sementelah 95% dari mereka berjaya menyiapkan jubah masing-masing dengan memakai jubah tersebut semasa menerima sijil tamat kursus. Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh YBhg. Ustazah Che Maryam Ahmad, iaitu isteri ADUN Bangi, yang juga Ketua Biro Wanita Masjid Al Hasanah dan EXCO Dewan Muslimat PAS Kawasan Serdang (DMPKS).

Objektif utama Bengkel Menjahit Mobil ini adalah untuk melatih kemahiran dan membantu masyarakat khasnya wanita dan juga gadis-gadis/remaja perempuan menjana pendapatan dari rumah.  Dari maklum balas yang diterima dari peserta, mereka telah mula menjahit sendiri jubah mereka, ahli keluarga dan ada juga peserta yang telah mendapat tempahan menjahit jubah untuk jiran dan kawan-kawan rapat. Selain dari menjahit jubah, para peserta juga dapat membaiki pakaian dan lain-lain pengubahsuaian yang berkaitan jahitan mudah.

Bengkel Menjahit bergerak ini diadakan setiap bulan mengikut lokasi yang telah terpilih dan dipersetujui bersama di DUN Bangi dan kawasan Serdang. DMPKS dengan kerjasama PWB Dun Bangi (teknikal dan pelaksanaan) akan bekerjasama dengan NGO, Persatuan Penduduk, Masjid, Surau serta organisasi yang berminat. Terdapat 9 buah mesin jahit yang akan dibawa ke lokasi bengkel.

Mesin-mesin jahit ini adalah hasil sumbangan ADUN Bangi melalui program-program menjahit yang telah dijalankan sejak tahun 2013 lagi sehinggalah sekarang atas  sokongan penuh dari YB ADUN Bangi iaitu YB Ustaz Shafie Ngah. Iaitu memberi peruntukan untuk membeli mesin jahit mobil. Semoga wanita Bangi dapat memanfaatkan apa yang ditawarkan demi kebaikan mereka.

Bengkel Menjahit Jubah yang berikutnya akan diadakan  pada setiap hari Ahad bermula jam 9.00 – 11.00 pagi pada tarikh 10, 17 & 24 April dan 8 Mei 2016 di PASTI As Syakirin, No.1, Jalan 3/15, Taman Kajang Utama. Kepada yang berminat bolehlah menghubungi Puan Mizazi ( 019 – 3886010) atau Puan Fatimah (019-2848910).

Advertisements