Bangi, 21 Feb 2016 – Masjid dan surau merupakan institusi yang signifikan dalam masyarakat. Menyedari kepentingan peranannya dalam membina komuniti cemerlang, satu kolokium halatuju dan pengurusan masjid dan surau DUN Bangi telah berlangsung di Dewan Saidina Abu Bakar Assiddiq, Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat (PAID).

Program anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi serta Gabungan Masjid dan Surau Bangi (GMSB) dengan kerjasama PAID ini memfokuskan menyelaras hala tuju masjid dan surau didalam DUN Bangi seterusnya memperkasa peranan masjid dan surau agar benar-benar membudaya serta menterjemahkan konsep Bangi Bandar Ilmu ke dalam masyarakat. Selain itu, ianya diharapkan dapat memantapkan pengurusan masjid dan surau agar lebih efektif dan profesional.

Kolokium yang dirasmikan oleh Exco kerajaan negeri Selangor, YB Dato Dr Ahmad Yunus Hairi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi telah disertai lebih dari 100 peserta yang terdiri daripada nazir masjid, pengerusi surau dan perwakilan masjid dan surau dalam DUN Bangi.

Untuk itu, sebanyak dua kertas kerja telah dibentangkan oleh YB Ustaz Shafie Ngah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi serta wakil dari PAID, Ustaz Hj Hanifuddin Hj Roslan sebagai Pegawai Tadbir Agama Hulu Langat. Pembentangan kertas kerja pertama bertajuk; Masjid/Surau manifestasi Bangi Bandar Ilmu: Satu Gagasan memberikan satu gambaran jelas kepada para hadirin visi misi yang ingin dicapai. Manakala, melalui kertas kerja kedua memerihalkan praktikal pengurusan masjid/surau cemerlang yang kreatif dan inovatif.

Program ini mendapat respon yang baik dari para peserta apabila pelbagai idea dilontarkan dalam diskusi meja bulat yang dipengerusikan oleh Ustaz Nushi Mahfodz. Diskusi ini membincangkan inisiatif/usaha yang boleh dilaksanakan untuk mencapai hasrat dan hala tuju pengurusan masjid/surau.

 

Advertisements